Asal-Usul Jenama Motorsikal Terkenal : Episod 1 - Pengeluar Jepun (Kawasaki dan Suzuki)





Motorsikal adalah salah satu cara pengangkutan yang paling digemari di dunia, tidak kira cc kecil atau besar. Min tahu anda mesti mempunyai paling kurang sebuah motorsikal setiap orang kan? Namun adakah anda tahu dimanakah asal jenama-jenama motorsikal tersebut?  
Perkembangan industri di Jepun dan Itali sekitar zaman selepas perang dunia kedua meletakkan kedua-dua negara tersebut sebagai gergasi motorsikal dunia. Kisah-kisah penubuhan jenama ini sangat seronok untuk dibaca.  
Berikut adalah kisah ringkas asal-usul jenama motorsikal paling terkenal dunia.  

1. Kawasaki :
Boleh dikatakan Kawasaki adalah antara jenama didalam negara yang bertanggungjawab merancakkan kembali industri permotoran di Malaysia selepas suram sekian lama dan nama ‘Kawasaki’ diambil daripada nama pengasasnya iaitu Shozo Kawasaki. 
Shozo meniaga sejak berusia 17 tahun dengan membantu ibu bapanya menjual kimono dan seterusnya beliau menceburkan diri dalam bidang pengangkutan. Bagaimanapun, selepas kapal kargonya tenggelam akibat dari bencana di lautan, beliau menyertai sebuah syarikat menjual gula. Ketika itu beliau dipertanggungjawabkan untuk menguruskan laluan dan bekalan gula di bawah arahan kerajaan Jepun. 
Prestasi baik membolehkan beliau dibantu kerajaan ketika itu untuk membuka perniagaan baru. Dengan pengalaman pahit beliau yang berdepan dengan kemalangan kapal kargo sebelum ini, Shozo mengambil keputusan membuka perniagaan pembinaan kapal dengan menjadikan kapal rekaan barat sebagai inspirasi. Setelah mendapat bantuan tapak kilang daripada kerajaan, syarikat perkapalan Kawasaki ditubuhkan untuk membina kapal-kapal serta mencatat sejarah membina kapal selam pertama di Jepun. 
Selepas perniagaannya berkembang, syarikat Kawasaki mula membina pelbagai lagi jenis kenderaan seperti keretapi, kapal terbang, helikopter, kereta serta robot mekanikal untuk kegunaan industri. Hanya pada tahun 1969, Kawasaki melancarkan motorsikal pertama mereka iaitu Kawasaki H1 dan ianya berjaya memecahkan dominasi pengeluar motorsikal Eropah ketika itu.   

2. Suzuki :
Jenama Suzuki mungkin sudah perlahan perkembangannya di Malaysia dengan penutupan kilang pembuatan serta pemasangan di Pulau Pinang, namun masih ramai peminat motorsikal yang menantikan rekaan terbaru motorsikal Suzuki yang agak lain daripada yang lain dari segi rekabentuk dan teknologi enjin. 
Pengasas jenama ini adalah seorang pemuda miskin bernama Michio Suzuki, anak kepada pekebun kapas yang lebih banyak menghabiskan masa bermain di sekeliling pokok kapas. Beliau kemudiannya bekerja di kilang tenunan yang membolehkannya meneliti rekaan mesin tenunan dan bagaimana kain tenunan dihasilkan. 
Pada usia 22 tahun, Michio menggunakan kesemua pengetahuan yang ada untuk menghasilkan mesin tenunan khas untuk ibunya. Mesin itu yang didapati jauh lebih cekap berbanding mesin sedia ada dan ianya mula menjadi buah mulut orang ramai, menyebabkan Michio mendapat pesanan untuk membinanya. Lantaran itu Michio menubuhkan syarikat mesin tenunan Suzuki pada tahun 1909. Selama 3 dekad, syarikat itu menumpukan perniagaan mereka pada pengeluaran mesin tenunan yang mendahului zaman. 
Hanya pada tahun 1937 ketika sudah berusia 50 tahun, syarikat Suzuki mula mengorak langkah menghasilkan kereta pertama mereka. Selepas perang dunia kedua, masalah ekonomi di Jepun menyebabkan perniagaannya terpaksa dihentikan. Suzuki kembali membina basikal berenjin bermula tahun 1952, sebelum memperkenalkan motorsikal pertama mereka Suzuki Colleda COX 125cc dua tahun kemudian.  

Di episod seterusnya, kita akan menyambung sejarah pengeluar dari Jepun iaitu Yamaha dan Honda

Sumber :  iluminasi.com 

#TwoWheels  #MGPM #MGPFCM #TWmedia #TWcare #Kawasaki #Suzuki

Comments

Follow Us