Asal-Usul Jenama Motorsikal Terkenal : Episod 2 - Pengeluar Jepun (Yamaha dan Honda)






3. Yamaha 
Sehingga kini Yamaha bukan saja terkenal sebagai pengeluar motorsikal, malahan sebagai pengeluar alat muzik terulung dunia. Semuanya bermula selepas seorang pengetua sekolah meminta Torakusu Yamaha, seorang pembuat jam yang mahir untuk cuba membaiki sebuah organ di sekolah tersebut. 

Organ tersebut yang dibina di Eropah, memberikan idea kepada Torakusu untuk cuba membina peralatan serupa. Bagaimanapun, organ pertama beliau dikritik kerana agak sumbang bunyinya. Tanpa menyerah kalah, Torakusu menghabiskan masanya selepas itu untuk belajar asas muzik supaya beliau lebih faham apa keperluan alat-alat muzik tersebut. Berbekal pengetahuan muzik yang ada, syarikat Yamaha mula mengeluarkan beberapa jenis alat muzik lain seperti piano dan gramofon sebelum mengeluarkan gitar pertama pada tahun 1963. 

Sebelum itu, pada tahun 1955 syarikat induk Yamaha Corporation mengambil keputusan untuk menubuhkan sebuah syarikat perniagaan industri motor mereka sendiri lalu tertubuhlah Yamaha Motor Company. 

Motorsikal pertama mereka, Yamaha YA-1 dikeluarkan pada tahun 1955 dengan kadar pengeluaran 200 unit sebulan. YA-1 menjadi lagenda selepas memenangi perlumbaan peringkat kebangsaan dalam kategori 125cc sebelum digantikan dengan model YB-1 dan YC-1 yang menambah baik model asas pertama mereka, YA-1. 

4. Honda
Sejak awal lagi Soichiro Honda meminati bidang mekanikal dan gemar membaiki enjin di bengkel serta mengubah suai kenderaan untuk perlumbaan. Beliau mendapat dana untuk memulakan perniagaan sendiri iaitu membekal piston ring bagi perusahaan Toyota pada tahun 1937. Pada waktu itu, produk yang dihasilkan ternyata tidak menepati standard yang ditentukan oleh Toyota, maka kontraknya ditamatkan. 

Selepas kegagalan itu, Soicihiro mula melawat kilang pembikinan alat ganti Toyota dan mempelajari teknik yang lebih baik. Hanya pada tahun 1941, produk yang dihasilkan Soichiro berjaya menepati standard Toyota dan ianya mula diterima pakai. 

Arahan kerajaan supaya meletakkan perniagaan beliau dibawah penyusunan semula membuatkan Soichiro diturunkan pangkat menyebabkan syarikat yang dimiliki beliau dipegang oleh Toyota selaku pemegang majoriti saham terbesar. Bagaimanapun, hubungannya dengan Toyota membuka jalan kepada Soichiro. Selepas menjual perniagaannya ketika itu kepada Toyota, beliau menggunakan modal yang ada untuk menubuhkan Honda Technical Research Institute pada tahun 1946. 

Dengan hanya 12 orang pekerja, Honda mula membina enjin untuk basikal sebelum mula membina motosikal sendiri di bawah jenama mereka pada tahun 1949 yang dinamakan Honda Dream.
Sumber : Iluminasi.com

#TwoWheels #MGPM #MGPFCM #TWmedia #TWcare #Yamaha #Honda

Comments

Follow Us