Asal-Usul Jenama Motorsikal Terkenal : Episod 4 – Pengeluar Eropah (Moto Moroni, Morbidelli dan Laverda)





8. Moto Moroni

Moto Morini diasaskan di Bologna, Itali oleh Alfonso Morini pada tahun 1937. Pada awal pembangunan sehingga pengeluaran motorsikal, Morini mendapat  bantuan sahabat beliau iaitu Mario Mazzetti. Ketika itu, kesemua model keluaran mereka diletakkan dibawah jenama MM.

Pada penghujung tahun 1937, kedua-dua mereka berpisah dan Morini terus membangunkan perusahaan ini seorang diri dengan mengeluarkan kenderaan tiga roda 350cc dan 500cc di bawah jenama Moto Morini. Model Moto Morini yang paling berjaya pada masa itu adalah M610 namun produksi motorsikal ini dihentikan sebaik sahaja Perang Dunia kedua bermula.

Pada tahun 1943, kilang Moto Morini telah dirosakkan oleh bom. Dengan sumber yang diperolehi oleh Morini, beliau berjaya memulihkannya pada tahun 1946 dan terus melancarkan motosikal baru yang diberi nama T125. Setahun kemudian, versi lumba T125 dilancarkan. Morini tidak mengambil masa yang lama untuk mencapai kejayaan didalam sukan permotoran. Pada tahun 1948, Moto Morini mencatat kemenangan pertama dalam Kejuaraan Terbuka Itali bersama pelumba mereka Raffaele Alberti didalam kategori 125.

Pada tahun 1956, operasi Moto Morini berpindah ke kilang yang lebih besar di Via Bergami. Pada tahun 1969, Alfonso Morini meninggal di usia 71 tahun dan Gabriella Morini iaitu anak perempuan beliau menyambung legasi Moto Morini selaku pengurus syarikat..

Motosikal V-Twin 72 darjah pertama dari Moto Morini dilancarkan pada awal 1970-an, yang dibangunkan oleh Franco Lamberti, Gino dan Franco Marchesini. Syarikat Moto Morini mula mengalami masalah pada tahun 1980-an, memaksa Gabriella Morini berbincang dan akhirnya bernaung dibawah Cagiva Group pada tahun 1987.

Di bawah pengurusan Cagiva, masalah Moto Morini masih berlanjutan sehingga kilang di Via Bergami ditutup pada tahun 1993. Tiga tahun kemudian, Cagiva menjual perusahaan Ducati dan Moto Morini kepada Kumpulan TPG. Di bawah pengurusan baru, beberapa motorsikal baru dilancarkan, termasuk naked bike Corsaro 1200 dan Corsaro Veloce 1200.

9. Morbidelli

Sekilas pandang, mungkin anda menyangka jenama Morbidelli akan mempunyai pertalian darah dengan pelumba MotoGP Franco Morbidelli, sebenarnya tiada apa-apa pertalian kecuali kedua-duanya dilahirkan di Itali.

Dilahirkan di Pesaro, Itali pada tahun 1934, Giancarlo Morbidelli merupakan anak sulung dari keluarga petani. Beliau bersekolah di sekolah teknik dan pada akhir pengajian, beliau mula bekerja di sebuah kilang mekanikal. Selepas tempoh wajib berkhidmat sebagai seorang tentera simpanan, berbekalkan sumber kewangan yang terhad dan semangat ingin Berjaya, beliau kembali ke kampung halaman dan membuka sebuah kilang kecil untuk pengeluaran mesin kerja kayu.

Berkat intuisi yang hebat dan kemampuan industri serta pengetahuan teknikalnya yang hebat, beliau dapat menjadikan kilangnya sebagai salah satu yang penting dan terkenal di sektor pembuatan hasil kayu pada ketika itu. 

Walaupun telah berjaya didalam industri pemprosesan kayu, tetapi beliau tetap tidak boleh melupakan minat beliau dari remaja iaitu motosikal. Bagi mempromosi jenama Morbidelli ke seluruh dunia, pada akhir tahun 1960-an, beliau memutuskan untuk memulakan perancangan dan pembuatan motosikal lumba. Projek penghasilan motorsikallumba ini mempunyai kejayaan besar pada sekitar tahun 1970-an, dengan pelbagai kemenangan di litar di seluruh dunia termasuk 4 kejuaraan dunia antara tahun 1975 dan 1977.

Pada akhir tahun 1970-an, Giancarlo mula memberi sokongan kepada anaknya Gianni, yang memulakan kerjayanya sebagai pemandu kereta lumba go-kart sehingga berjaya merangkul kejuaraan F1 beberapa tahun kemudian. Giancarlo masih mengikuti dan menyokong Gianni di litar di mana beliau mengambil bahagian dalam perlumbaan.

Pada awal tahun 1990-an, Giancarlo sangat berpuas hati dengan kejayaan beliau lalu memutuskan untuk menjual perusahaan kayunya untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada penghasilan motosikal. Beliau mula merancang dan memasang beberapa siri motorsikal berkuasa 850 cc dengan enjin V8. Rekaan menarik ini menjadi satu contoh teknikal motosikal yang hebat dan eksklusif pada waktu itu. Kerana ciri-cirinya yang tidak dapat ditandingi, rekaan motorsikal ini dimasukkan dalam jurnal Guinness World Records dan ia juga dipamerkan di Muzium New York, Bilbao dan Las Vegas Guggenheim.

Pada tahun 1999, Giancarlo mengumpulkan kesemua motorsikal lama dari beliau masih muda dan melengkapkan sebuah muzium di kawasan tertutup sekitar 3.000 kaki persegi. Muzium ini menempatkan kira-kira 350 motosikal yang dibina sehingga 1990-an termasuk motorsikal-motorsikal yang dibina oleh beliau. Ironinya, bangunan muzium ini berasal dari kilang bekas milik beliau ketika menjadi pengusaha kayu dahulu.

10. Laverda

Seperti pembuat motorsikal dari Eropah yang lain, Laverda juga dari Itali dan ditubuhkan pada bulan Oktober 1949 oleh Fracesco Laverda. Pada tahun 1950, syarikat ini telah mengeluarkan motosikal pertama mereka iaitu Laverda 75. Pada awal kewujudan Laverda, mereka sangat berminat dengan sukan permotoran. Dengan motorsikal Laverda 75, mereka mengambil bahagian didalam beberapa edisi kejuaraan Giro d'Talia, Motogito dan enduro Itali.

Model Laverda kedua adalah Laverda 100. Ianya dilancarkan secara rasmi pada tahun 1955. Sehingga akhir 1960-an, syarikat ini hanya menghasilkan motorsikal, skuter dan moped berkapasiti kecil. Antara model yang paling berjaya adalah moped Laverdino 48, yang secara rasmi dilancarkan pada tahun 1958. Halatuju dan visi syarikat diubah ketika Massino Laverda, anak lelaki Francesco Laverda terlibat didalam jabatan pengurusan syarikat. Beliau berusaha menghasilkan motosikal berkapasiti tinggi untuk lebih berdaya saing dengan pengeluar yang lain.

Pada tahun 1968, Laverda memperkenalkan motorsikal berkapasiti tinggi iaitu Laverda 650cc. Malangnya model ini tidak mencatatkan penjualan yang tinggi sehingga pada tahun 1970, Laverda mengeluarkan model 750 yang lebih diterima di pasaran.

Model 750 diteruskan sehingga beberapa tahun selepas itu sehingga terhasilnya variant mod 750 SF. Pada tahun 1976, syarikat ini melancarkan model Lavenda 1000, motosikal paling berkuasa yang dikeluarkan oleh syarikat dari Itali ketika itu. Model ini diteruskan sehingga tahun 1980. Pada tahun berikutnya, ketika Pameran Permotoran di Milan, syarikat ini mempamerkan model terbaru dikenali Laverda 1000 RGS, juga dikenali sebagai Real Grand Sport. Ianya merupakan versi lebih baik dan lebih moden jika dibandingkan dengan model Laverda 1000 sebelum ini.

Walaupun syarikat ini memperkenalkan rangkaian motorsikal berkapasiti kecil dari 350cc hingga 500cc yang baru pada tahun 1990-an, Laverda mula mengalami masalah kewangan. Walaupun Laverda berusaha keras untuk meyelamatkan syarikat, akhirnya Laverda dibeli oleh kumpulan Aprilia, yang sudah memiliki syarikat Moto Guzzi pada ketika itu. Model terbaru dari Lavenda selepas itu adalah Phoenix 150, skuter 50cc dan beberapa model yang lain, yang dibangunkan dengan bantuan kumpulan Aprilia.

#TwoWheels #MGPM #MGPFCM #TWmedia #TWcare #History

Comments

Follow Us