Mural Pelumba Negara dan MotoGP Di Luar Bangunan Kuantan








Masih ingat dengan posting min sebelum ini berkenaan satu mural diluar bangunan bersebelahan pasar besar Kuantan? Alhamdulillah, dengan bantuan saudara Khalim Miswan, pihak Two Wheels Berjaya menjejak pelukis asal mural tersebut.

Berumur 34 tahun, Mohd Fiqri Mohd Abdullah atau dikenali sebagai kid dilahirkan di Kuantan, Pahang. Beliau telah berkahwin dan dikurniakan dengan 2 cahayamata. Seorang yang sangat meminati sukan bola sepak dari kecil hinggakan menjadikan bola sepak sebagai kerjaya. Beliau pernah beraksi Bersama pasukan UITM FC, Shahzan Muda dan Kuantan FA sehingga beliau berumur 27 tahun. Disamping minat mendalam kepada sukan bola sepak, beliau juga amat gemar dengan sukan permotoran, terutama MotoGP. Pasukan bola sepak yang beliau minati adalah Pahang dan Manchester United serta pelumba MotoGP yang beliau gemari adalah Valentino Rossi.

Setelah menggantung kasut bola sepenuhnya ketika berusia 27 tahun, beliau kembali mengejar cita-cita dan berbekalkan pengalaman yang dipelajari ketika didalam universiti, beliau menjadikan bidang lukisan mural sebagai hobi serta pendapatan tempatan namun seterusnya ianya menjadi kerjaya sepenuh masa beliau setelah menerima permintaan dari kenalan dan pelanggan. Kid pernah mengembara hampir ke seluruh Malaysia untuk menyiapkan lukisan mural di bangunan atau dinding mengikut kemahuan dan keperluan pelanggan. Mural pelumba MotoGP dan Hafizh Syahrin yang dikongsi oleh min, disiapkan beliau dalam masa tiga hari dan ianya menghiasi dinding  kedai motorsikal, Titanium Bikers. Kid menghasilkan mural tersebut dengan menggunakan berus dan penyembur cat. 

Dari kerjaya sebagai pelukis mural, kid mendapat pekerjaan tetap beliau sekarang iaitu sebagai pereka grafik. Ceritanya, ketika beliau sedang menyiapkan mural di bangunan Pahang Medical Centre, beliau dipanggil untuk sesi temubual. Dengan pakaian beliau yang dipenuhi cat dari kerja mural, beliau melepasi temubual tersebut dan diterima kerja. Bak kata orang, rezeki milik Allah, rezeki tak salah alamat. 

Disamping tugas harian beliau di PMC, beliau akan terus berkarya untuk memenuhi kehendak pelanggan untuk membuat lukisan mural selepas waktu kerja atau ketika cuti hujung minggu. Kini beliau lebih memberi perhatian kepada bidang seni doodle. Apa itu doodle? Min pun baru belajar dan kenal hari ini. Doodle adalah lebih kepada satu tarian didalam bidang lukisan. Seni lukisan doodle lebih halus dan banyak penceritaan disebalik sebuah lakaran atau lukisan. Kid mengakui ianya lebih mencabar dari lukisan mural biasa namun ianya amat berseni dan menimbulkan lebih kepuasan selepas selesai bekarya. 

‘Kehidupan sebagai pelukis mural dan doodle di Kuantan agak struggle disebabkan market di sini agak kecil berbanding di Kuala Lumpur. Wabak covid-19 juga memberi impak yang tinggi keatas kami selaku pelukis mural/doodle kerana permintaan terus berkurang. Alhamdulillah, dengan kerjaya tetap yang saya ada ini di PMC, dapatlah saya terus menyara keluarga didalam situasi yang sukar ini’ – Kid

Bagi anda yang ingin melihat karya-karya beliau dan mungkin ingin mendapatkan perkhidmatan beliau, bolehlah mengikuti beliau di IG  gapordiekid atau di talian 010-9096612. Selamat maju jaya dan teruskan berkarya.

#TwoWheels #MGPM 🇲🇾 #MGPFCM 🇲🇾 #TW #mural #VR46 #HS55 #MM93 #gapordiekid

Comments

Follow Us