AMARAN AWAL AZROY



SEPANG, 17 Julai – Jentera Honda seakan-akan memberi amaran awal kepada barisan pencabarnya ketika saingan bagi Pusingan 1 Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS 2020 membuka gelanggang di Litar Sepang (utara) hari ini.

 

Meskipun kejuaraan ini tertangguh selama empat bulan gara-gara pandemik Covid-19, barisan pelumba yang menunggang jentera Honda tampil garang bagi menguasai saingan peringkat kelayakan dalam kelas utama – CP150 hari ini.

 

Azroy Hakeem Anuar yang menggalas cabaran pasukan Idemitsu Honda Yuzy Racing, tidak menunggu lama untuk menyesuaikan diri dengan perlumbaan, sekali gus mencatat masa terpantas pada sesi kelayakan dengan masa 1:17.601 saat (s) sepusingan.

 

Walaupun mengakui agak hilang momentum tunggangan selepas sekian lama berehat, namun ia bukan halangan buatnya untuk menampilkan yang terbaik pada sesi hari ini.

 

Jentera yang ditunggangnya berada dalam situasi terbaik dan dia mempergunakan sepenuhnya kelebihan tersebut untuk tampil selaku pelumba terpantas pada sesi kelayakan bagi kelas CP150.

 

Turut menampilkan rentak yang memberangsangkan adalah pelumba pasukan Hi Rev SCK Honda Racing, Md Helmi Azman yang turut memacu jentera Honda.

 

Pada sesi kelayakan tersebut, Helmi muncul pelumba kedua terpantas dengan catatan masa 1:17.728s sepusingan.

 

Pelumba yang berada di posisi ketiga terpantas menjadi milik Md Ramdan Rosli (ONEXOX TKKR SAG Team) dengan masa 1:17.964s.

 

Sementara itu, bagi kelas CP125, yang merupakan kategori baharu musim ini menyaksikan penguasaan pelumba yang menunggang jentera Yamaha.

 

Ia memperlihatkan keunggulan pelumba ONEXOX TKKR SAG Team yang menguasai tiga kedudukan teratas.

 

Sesi kelayakan bagi kelas CP125 itu diungguli Md Hafiza Rofa yang melakukan catatan terpantas 1:22.237s sepusingan.

 

Rakan sepasukannya, Md Shafiq Rasol berada di kedudukan kedua terpantas dengan masa 1:22.602s manakala Md Syafieq Aiman Md Fauzi di kedudukan ketiga dengan masa 1:23.127s.

 

Saingan bagi kelas Wira pula dikuasai pelumba asal Selangor, Md Harith Haziq Zamri dengan catatan masa terpantas 1:24.310s.

 

Pelumba yang menggalas cabaran pasukan Castrol Power1 Racing Team itu menggunakan jentera Honda pada penampilan sulung pasukan tersebut di Cub Prix musim ini.

 

Md Izzat Md Raduan (ONEXOX SAG Team) pula berada di kedudukan kedua terpantas sesi kelayakan tersebut dengan masa 1:24.560s manakala rakan sepasukannya, Md Aeiman Hafidz Shahril menamatkan sesi hari ini di tempat ketiga dengan masa 1:25.220s.

 

Esok, akan berlangsung perlumbaan akhir dan ia pasti menjanjikan saingan sengit kerana ada beberapa pelumba yang masih belum menemui rentak sebenar mereka pada aksi pembuka tirai hari ini.

Comments

Follow Us