- Get link
- X
- Other Apps
11. Benelli
Benelli ditubuhkan pada tahun 1911, di Pesaro, Itali. Teresa Benelli, seorang janda telah melaburkan semua wangnya ke sebuah syarikat agar enam anaknya mendapat pekerjaan yang lebih baik. Pada mulanya, syarikat ini dipanggil Benelli Garage dan perniagaan utama syarikat ini adalah membaiki kereta dan motosikal. Syarikat ini juga dapat menghasilkan alat ganti yang diperlukan untuk kerja-kerja pembaikan tersebut.
Disebabkan reputasi mereka sangat baik didalam kerja-kerja kejuruteraan dan pembaikan, salah seorang anak lelaki Teresa Benelli telah berjaya menghasilkan enjin pertama keluaran mereka pada tahun 1920. Enjin silinder tunggal dengan kapasiti 75 cc ini disesuaikan dengan kerangka basikal. Pada tahun 1921, syarikat ini membina motosikal pertama mereka, berdasarkan enjin 75 cc yang dicipta mereka dan seterusnya kuasa enjin ini ditingkatkan 98 cc. Selang 2 tahun, Benelli tertarik dengan sukan permotoran dan menghantar Tonino Benelli di trek untuk menunggang motorsikal mereka yang diubah menjadi versi lumba. Selepas beberapa tahun, Tonino berjaya didalam sukan permotoran. Dengan menggunakan model Benelli 175, beliau memenangi kejuaraan Itali pada tahun 1927, 1928, 1930 dan 1931. Setahun selepas itu (1932), Tonino meninggal didalam kemalangan jalan raya.
Berbekalkan motorsikal 250cc supercharged empat silinder, mereka ingin menggunakannya untuk perlumbaan pada tahun 1940, namun ianya gagal kerana berlakunya perang dunia kedua. Pada tahun 1949, Giuseppe Benelli meninggalkan syarikat ini dan mengasaskan Motobi. Perniagaan Benelli diteruskan tanpa beliau dan syarikat telah Berjaya menghasilkan beberapa motorsikal pada tahun 1951. Yang paling terkenal pada ketika itu adalah model Leoncino 98cc dan 125cc, dihasilkan dalam dua variant iaitu dua lejang dan empat lejang.
Benelli mengalami beberapa saat yang sukar, terutamanya ketika syarikat Jepun memasuki pasaran Eropah. Walaupun mereka menjual banyak motorsikal di pasaran Eropah, pada akhir 1970-an Benelli menghentikan pengeluaran motorsikal mereka. Walaupun syarikat ini cuba dibangunkan semula oleh Giancarlo Selci, namun ianya tetap gagal, sehinggalah Andrea Merloni membantu pengembangan motorsikal pada tahun 1995 sehinggalah terhasil model sport super Tornado 900 Tre pada tahun 2002. Pada masa ini, Benelli adalah sebahagian daripada kumpulan Qianjiang, China.
12. Cagiva
Cagiva ditubuhkan pada tahun 1950 di Itali. Pada mulanya mereka mengendalikan perusahaan pengeluaran komponen logam, tetapi pada tahun 1978 pasukan perlumbaan Cagiva ditubuhkan. Gianfranco Bonera dan Marco Lucchinelli adalah pelumba Cagiva terawal. Kedua-dua motorsikal mereka dicat dengan warna merah dan perak. Pada bulan Oktober tahun 1978, Cagiva telah membeli kilang Schiranna dari Harley-Davidson, Itali dan mereka mula membuat motorsikal di kilang tersebut.
Pada akhir tahun 1979 syarikat mempunyai lebih daripada 150 pekerja dan pengeluaran tahunan sebanyak 40,000 motorsikal. Rangkaian produksi mereka merangkumi lapan model enjin dua lejang, dari 125 cc hingga 350 cc yang dijual dengan jenama HD Cagiva. Pada tahun 1980-an, Cagiva mula mengeluarkan motorsikal lasak dan membawa Ron Turner dan Duane Summers untuk menguji motorsikal ini didalam perlumbaan. Dalam jangka masa yang sama, syarikat ini memperoleh keputusan podium pertama Bersama Randy Mamola. Pada awal tahun 1990-an, Cagiva membawa Eddie Lawson ke dalam pasukan dan beliau memenangi Grand Prix Hungaria pada tahun berikutnya. Kejayaan pasukan Cagiva diteruskan oleh pelumba mereka, John Kocinski. Beliau mendapat kedudukan ketiga didalam Kejuaraan Dunia 1994.
Pada tahun 1983 Cagiva menandatangani perjanjian eksklusif bersama Ducati untuk mendapatkan beberapa teknologi dan rekaan dari empat enjin Ducati 350cc hingga 1000cc. Pada tahun-tahun berikutnya, syarikat Cagiva mula membeli pesaing mereka yang mengalami masalah kewangan seperti Ducati, Moto Morini dan Husqvarna. Pada tahun 1986 sebuah syarikat lain ditubuhkan, bernama Cagiva Commerciale S.p.A yang mempunyai objektif utamanya penjualan motorsikal Cagiva, Ducati, Husqvarna dan Moto Morini. Pusat Penyelidikan Cagiva dibentuk di Republik San Marino pada tahun 1987 dan sebuah kilang baru untuk menghasilkan casis keluli dan aluminium dibina pada tahun 1990 di Morazzone.
Setahun kemudian, MV Agusta dibeli oleh Cagiva tetapi pada tahun 1996 mereka terpaksa menjual syarikat Ducati dan Moto Morini. Cagiva meneruskan kejayaan mereka dengan model terbaru MV Agusta iaitu F4 Oro. Ianya mula diperkenalkan di Milan International Salon Show. Pada tahun 1999 kilang Cagiva baru dibuka di Cassinetta di Biandronno dan beberapa penstrukturan semula berlaku. MV Agusta menjadi jenama utama dibawah Cagiva dan Husqvarna sebagai jenama sekunder. Selepas itu, beberapa model Cagiva terus diperkenalkan di Milan International Salon, model seperti Raptor, V-Raptor dan Navigator, yang menjadi model legenda sehingga kini.
13. Moto Guzzi
Moto Guzzi ditubuhkan pada tahun 1921 di Itali oleh Carlo Guzzi dan Giorgio Parodi. Walaupun motorsikal pertama Moto Guzzi direka pada tahun 1920, syarikat ini secara rasmi ditubuhkan setahun selepas itu. Model pertama mereka dengan nama Normale memasuki produksi pada tahun 1922. Model Normale mempunyai enjin berkuasa 500 cc dan dengan cepat menarik perhatian pasaran, menjadikan kejayaan besar pertama kepada syarikat.
Selain dari model Normale, syarikat ini telah mengeluarkan beberapa model terkenal lain termasuk Tur GT (1928), Condor (1938), Dondolino (1940) dan Sport 15 (1931). Walau bagaimanapun, model Falcone yang muncul pada tahun 1950 dapat dianggap sebagai kejayaan kedua terbesar syarikat. Falcone kekal dalam pengeluaran sehingga tahun 1976 dengan penambahbaikan setiap tahun.
Pada tahun 1977, Moto Guzzi meneruskan penyelidikan dan pengembangan motorsikal baru dengan memperkenalkan model V7 yang kemudian diperbaharui menjadi V7 Special (1979). Selepas beberapa tahun, syarikat ini mencipta enjin yang lebih besar dengan kapasiti 844cc dan dipasang pada model motorsikal Le Mans 850 yang sangat terkenal.
Walaupun perjalanan syarikat berjalan lancar dengan pegeluaran model baru dan lebih maju, Moto Guzzi mula mengalami masalah kewangan dan ianya dibeli oleh Alejandro De Tomaso.
Pada tahun 1992, motosikal Daytona 1000 dilengkapi dengan enjin 992cc, dianggap sebagai salah satu motosikal paling maju yang pernah dikeluarkan oleh syarikat ini namun, kerana beberapa masalah kewangan, Moto Guzzi tidak dapat meneruskan pembangunannya. Perkara ini sedikit sebanyak berubah setelah Aprilia membayar tidak kurang 65 juta euro kepada syarikat Itali itu untuk meneruskan pembangunan motosikal baru sehingga terhasilnya dua motosikal serba canggih pada tahun 2004 dan 2005, iaitu model Breva 750 dan Breva 1100.
Artikel akan bersambung pada episod 6 mengenai pengeluar-pengeluar motorsikal tempatan.
#TwoWheels #MGPM #MGPFCM #TWmedia #TWcare #History
Comments
Post a Comment