- Get link
- X
- Other Apps
Asal-Usul Jenama Motorsikal Terkenal : Episod 6 – Pengeluar Tempatan (Modenas, Demak, Naza-Hyosung, MForce)
- Get link
- X
- Other Apps
14. Modenas
Syarikat Modenas (Motorsikal dan Enjin Nasional) dilancarkan pada tahun 1990-an di Gurun, Kedah, Malaysia. Modenas adalah sebuah syarikat motosikal nasional Malaysia yang dapat menghasilkan pelbagai motosikal kecil di bawah 200 cc untuk pasaran dan eksport tempatan.
Kawasaki Heavy Industries (KHI) adalah rakan teknologi MODENAS sehingga kini. Ekuiti dikongsi oleh DRB-HICOM BERHAD (81%) dan KAWASAKI HEAVY INDUSTRIES (19%) namun jumlah saham ini telah berubah pada penghujung tahun lepas dan sehingga kini jumlah pegangan saham KHI didalam Modenas masih menjadi rahsia. Dengan penambahan pegangan saham ini, Modenas telah mengumumkan untuk menjadi hub pemasangan model-model keluaran Kawasaki untuk pasaran tempatan seperti Ninja 250, Versys dan ZX25R.
Pada masa ini Modenas mengeksport produknya ke 17 negara di seluruh dunia dengan Yunani, Rusia dan Amerika Selatan menjadi pengimport terbesar. Modenas juga menjadi kilang pemasangan jenama Bajaj dari India dengan memasarkan model Pulsar dan Dominar di Malaysia.
Modenas pernah membentuk pasukan kilang sendiri pada April 2005 serta menaja beberapa pasukan yang menggunakan mesinnya dalan kejuaraan Malaysian Cub Prix, sebuah kejuaraan perlumbaan motosikal kapcai untuk berentap dengan mesin-mesin Yamaha dan Suzuki. Kesemua pasukan menggunakan Modenas Kriss untuk kategori Wira dan Modenas Dinamik untuk kategori Expert.
Modenas juga pernah menyertai perlumbaan Grand Prix Motosikal melalui pasukan Modenas KR sebelum diambil alih oleh PROTON pada tahun 2001. Modenas membina motosikal 500 cc 3 silinder 2 lejang untuk pasukan tersebut.
Pada Mac 2008, Modenas telah membentuk satu pasukan baru iaitu Modenas Yuzi Pachi Racing Team dalam siri Kejuaraan Cub Prix Malaysia AAM PETRONAS Sprinta. Modenas selaku pengeluar motosikal nasional telah bersetuju untuk menjalinkan kerjasama dengan Shahrul Yuzi Motosports Sdn Bhd, dan PACHI Motorsports. Penglibatan MODENAS dalam siri perlumbaan ini adalah bertujuan untuk mempromosikan motosikal 4 lejang Modenas.Pasukan ini akan menggunakan motosikal KRISS 110, yang pernah digunakan dalam siri kejuaraan pada dua tahun lepas dan KRISS 120, motosikal berkuasa 120cc yang pertama di Malaysia yang telah dilancarkan oleh MODENAS pada bulan Ogos 2007.
MODENAS menerajui pemindahan teknologi dan pengembangan pembuatan motosikal, untuk akhirnya membolehkan negara ini menghasilkan motosikal tempatan dengan bangganya. Walaupun visi itu tidak akan dapat direalisasikan dalam jangka masa yang singkat, ini adalah keyakinan yang kuat bahawa Malaysia suatu hari akan menjadi salah satu pengeluar motosikal yang hebat untuk diedarkan di seluruh dunia.
15. Demak
Demak Motor yang berpangkalan di Kuching, Sarawak bermula tatkala "demam skuter" sedang melanda Malaysia sekitar tahun 2002. Pada masa itu, pasaran motosikal Malaysia terutamanya di kawasan bandar didominasi model-model skuter Suzuki kerana selain mudah dikendalikan, terdapat banyak komuniti skuter yang mengubahsuai skuter masing-masing dengan mengecat badan skuter menggunakan airbrush serta memasang sistem audio pada skuter. Hasil daripada ledakan "demam skuter" ini, maka lahirlah syarikat-syarikat motosikal seperti Comel, Nitro & Demak yang mengeluarkan model-model skuter klon dari China ke pasaran Malaysia. Namun, disebabkan masalah kualiti yang sangat teruk pada skuter-skuter klon ini, maka jenama Comel & Nitro berkubur dengan cepat. Hanya Demak sahaja yang mampu bertahan kerana mereka mengambil inisiatif meningkatkan kualiti motosikal keluaran mereka.
Kilang asal Demak Motor terletak di Demak Laut, Kuching, Sarawak, mula beroperasi pada tahun 2002. Seterusnya, bagi memenuhi pasaran yang semakin meningkat, Demak Motor membuka kilang kedua mereka di Olak Lempit, Banting, Selangor yang mula beroperasi pada tahun 2014, menjadikan Demak Motor sebagai satu-satunya syarikat motosikal nasional yang memiliki lebih daripada sebuah kilang di Malaysia (Modenas masih kekal mempunyai hanya satu sahaja kilang di Gurun, Kedah). Setiap kilang mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 60,000 buah motosikal setahun, dengan jumlah kapasiti pengeluaran gabungan sebanyak 120,000 buah. Setiap tahun, pengeluaran motosikal Demak Motor dianggarkan sebanyak 60,000 buah setahun bagi pasaran tempatan & eksport. Bagi urusan jualan & servis, Demak Motor mengendalikan 6 buah pusat servis di seluruh negara.
Syarikat DNC Asiatic Holdings, pengeluar motosikal jenama Demak di Olak Lempit, Banting ditutup secara rasmi pada Mei 2018. Berita penutupan kilang Demak Motor sememangnya amat mengejutkan para peminat motosikal di Malaysia, memandangkan begitu banyak motosikal Demak yang terjual di Malaysia. Demak Motor menduduki tempat keempat dalam penguasaan pasaran motosikal Malaysia, di belakang Honda, Yamaha & SYM, dengan purata sekitar 40,000 buah motosikal setiap tahun. Sepanjang tempoh operasinya bermula tahun 2002, Demak Motor telah mengeluarkan lebih 400,000 buah motosikal yang dijual di 15 buah negara. Tambah mengejutkan lagi, Demak Motor menutup operasinya tatkala sebelum ini mereka telah mengumumkan 8 model motosikal baharu yang sepatutnya mula dikeluarkan tahun ini, di samping pengumuman eksport ke Kemboja bermula Jun 2018.
Mekanika pernah membuat siasatan dan kesimpulan penutupan Demak di Malaysia boleh dibaca di : https://www.mekanika.com.my/demak-motor-bungkus-kami-lakukan-siasatan-dan-temui-ini-puncanya/
16. Naza Bikes
Naza Motor Trading ditubuhkan di Malaysia pada tahun 1975 oleh Tan Sri SM Nasimuddin SM Amin. Ketika itu syarikat Naza hanya menumpukan perniagaan sebagai pengedar kenderaan mewah di Kuala Lumpur.
Pada tahun 2000, Naza mengorak langkah dengan menjadi pengedar rasmi motorsikal dari jenama Ducati sehinggalah pada tahun 2003, Naza Bikes Sdn Bhd ditubuhkan bagi memasang dan mengedar motorsikal di Malaysia. Kilang yang menelan belanja RM30juta ini terletak di Shah Alam dan mula memasang motorsikal dari kapasiti enjin kecil hinggalah berkapasiti tinggi. Naza Bikes juga bekerjasama dengan pembuat motorsikal dari Korea iaitu Hyosung dan KR Motor untuk memasang serta mengedar model motorsikal mereka di Malaysia seperti Naza Blade 250N, Blade 250R, Blade 650N, Blade 650R, N5 dan N5R. Naza Bikes juga bekerjasama dengan Aprilia untuk memasang model Shiver 750 di kilang Shah Alam bagi pasaran tempatan.
Pada tahun 2008, Naza pernah memperkenalkan saingan Naza Cup di Litar Sepang sebagai perlumbaan sokongan ketika MSS berlangsung namun ianya berkubur beberapa tahun selepas itu.
17. MForce
MFORCE BIKE HOLDINGS SDN BHD adalah salah satu pengedar motosikal terbesar di Pulau Pinang, Malaysia yang diasaskan oleh Dato 'Sri Tan Lean Heah pada tahun 2008. Syarikat ini merupakan pengedar tunggal jenama motosikal premium di Malaysia iaitu Benelli, Keeway, SYM, Brixton dan Motor Niu dan memiliki dua jenama rumah lain SM Sport dan Wmoto.
MFORCE BIKE HOLDINGS SDN BHD adalah Syarikat yang berkembang pesat yang bukan sahaja mengedar motosikal secara tempatan tetapi juga mengeksport motosikal ke negara-negara Asia seperti Thailand, Vietnam, Indonesia, Taiwan dan lain-lain.
SUNLIGHT POWER SDN BHD adalah salah satu syarikat pemasangan motosikal terbesar di Pulau Pinang, Malaysia yang diasaskan oleh Dato 'Sri Tan Leah Heah pada tahun 2017. Syarikat ini merupakan satu-satunya syarikat pemasangan jenama motosikal premium di Malaysia iaitu motosikal Benelli, Keeway, SYM, Brixton dan Niu dan memiliki dua jenama SM Sport dan WMOTO yang lain.
#TwoWheels #MGPM #MGPFCM #TWmedia #History
Comments
Post a Comment