Temuramah Brad Binder melalui aplikasi zoom




Semalam telah diadakan satu sesi temuramah khas daripada pihak KTM MotoGP bersama pelumba mereka iaitu Brad Binder melalui aplikasi zoom. Seramai 18 media yang turut serta dalam program ini dan kami, TWO WHEELS merupakan satu-satunya media dari Malaysia yang menyertai sesi temuramah ini.

Dalam suasana pandemik covid19, perjalanan Brad untuk keluar dari Afrika amat sukar. Pihak kerajaan sangat tegas dalam hal keluar masuk negara buat masa ini. Oleh kerana ibunya merupakan warganegara Britain maka diberi sedikit kelonggaran di situ.

Bercakap berkenaan pembaharuan kontrak, Brad memberitahu bahawa beliau sangat gembira bukan kerana dapat terus beraksi di pentas motogp tetapi yang terutama kerana kepercayaan daripada pihak KTM kepada dirinya untuk terus maju bersaing dengan pelumba-pelumba senior yang lain. Beliau sedar masih ramai pelumba yang berbakat namun peluang yang diberikan akan memberi suntikan semangat untuk membawa jenama KTM ke tahap yang lebih tinggi. Setelah sekian lama bersama KTM iaitu sejak Rookies Cup, beliau percaya bahawa KTM amat serius dalam melaksanakan tugasan untuk menjadi antara yang terbaik di dunia.

Setelah berbulan-bulan tidak memacu jentera ganas RC16, Brad akui pada mulanya beliau amat takut dengan kelincahan dan kuasa yang dihemburkan jenteranya itu. Beliau langsung tidak memulas throttle 100% dan semestinya kelajuan yang dicapainya tidak maksimum. Akan tetapi pada hari kedua latihan di Misano, keadaannya membaik dan 'feeling' juga semakin kembali. Pada beberapa hari sebelum latihan itu beliau memang ada berlatih dengan jentera 1000cc namun ia sekadar untuk mengembalikan rentak tunggangan dan penguasaan litar sahaja. Ini kerana kedua-dua jentera tersebut amat besar perbezaannya.

Pada sesi latihan itu juga, pihak KTM turut melakukan beberapa ujian kepada chassis dan penyerap hentak hadapan. Brad mengatakan ujian tersebut berjalan dengan baik dan jentera juga semakin stabil ketika di selekoh.

Pada tahun ini ialah tahun pertama Brad di pentas utama motogp. Bercakap soal gelaran rookie of the year, beliau mengatakan dirinya tidak meletakkan anugerah itu sebagai matlamat utama. Beliau tidak mahu memberi tekanan yang besar pada dirinya dan target utama beliau ialah pada setiap perlumbaan adanya peningkatan. Beliau tidak akan sekali-kali meggila pada perlumbaan nanti kerana tidak mahu tercircir dan akhirnya tidak membawa apa-apa manfaat.

Perlumbaan dua kali di litar yang sama disambut baik oleh Brad. Ini kerana ia lebih mudah untuk mengatur strategi dan menambah baik pada bahagian-bahagian tertentu dan semestinya pada perlumbaan kedua akan menjadi sangat sengit di mana semua pelumba akan menutup kesilapan-kesilapan lalu. Akan tetapi untuk tahun hadapan ia agak mencabar kerana banyak litar akan menjadi litar baru bagi dirinya yang mana belum ada rekod yang dicatatkan bersama RC16.

Di waktu lapang, beliau kini banyak berbasikal dan menunggang motorcross. Pihak KTM memberi kebenaran untuk dirinya terus berlatih motorcross namun tidak boleh secara 100% bagi mengelak daripada sebarang perkara yang tidak diingini memandangkan  perlumbaan pertama cuma dua minggu dari sekarang. Latihan juga dipastikan dalam keadaan terkawal yang mana tiada penunggang-penunggang lain.

#TwoWheels #MGPM 🇲🇾 #MGPFCM 🇲🇾 #TWmedia
#BB33
#ktm

Comments

Follow Us