- Get link
- X
- Other Apps
Korang jangan ingat ni bab topik sejarah perang pula ya. Kami nak berkongsikan sedikit maklumat berkenaan jenama ekzos motosikal berkuasa tinggi buatan Jepun iaitu Yoshimura Exhaust.
Yoshimura Motor dItubuhkan pada awal tahun 1954 di Fukuoka, oleh pengasasnya Hideo Yoshimura. Ketika itu, beliau hanya menumpang kilang besi abangnya. Setelah 10 tahun penubuhan mereka, jenama ini mengecapi kejayaan pertama dengan membantu pasukan lumba tajaan mereka di Suzuka “18 hours Endurance Race”. Setahun kemudian, mereka berpindah ke Fussa, Tokyo dan dijenama semula sebagai “Yoshimura Competition Motors”.
Model pertama sistem ekzos 4-1, diperkenalkan pada tahun 1971 dan digunapakai di model Honda CB750 dan mula dijual pada pasaran antarabangsa pada tahun berikutnya. Dengan kejayaan jualan ekzos sukan sebagai alatganti berprestasi tinggi, mereka melebarkan sayapnya ke Amerika Syarikat dan tertubuhlah “Yoshimura Racing”.
Pada 1986, hasil dari ujian dan penyelidikan, ekzos “Sanper” diperkenalkan untuk motosikal berenjin satu silinder. Ekzos motor dari bahan keluli tahankarat mula diperkenalkan oleh Yoshimura dan pada tahun 1991, kilang lengkap berteknologi tinggi telah siap dan beroperasi sepenuhnya.
Pada tahun berikutnya, Fujio Yoshimura, iaitu Presiden syarikat, telah membina dan memperkenalkan kaburetor MJN. Penggunaan bahan dari titanium dan karbonfiber juga mula digunakan dalam penghasilan ekzos mereka.
Pada 1995, tahun yang menyedihkan buat seluruh warga kerja Yoshimura, pengasas mereka, Hideo Yoshimura meninggal dunia. Akan tetapi, berita sedih ini tidak melemahkan semangat mereka kerana mereka Berjaya mengeluarkan produk ekzos titanium secara besar-besaran dan disertai oleh waranti kilang selama 1 tahun dengan setiap pembelian ekzos “Yoshimura Cyclone”.
Kerjasama mereka dengan Suzuki pada produk alatganti lumba untuk GSX-R, bermula pada tahun 1997. Sepanjang kerjasama tersebut, sistem ekzos ‘Tri-Oval’ tercipta dan dipasarkan secara meluas dengan waranti kilang selama 2 tahun.
Lebih menggembirakan semua peminat mereka, pada tahun millennium 2000, Yoshimura memperkenalkan model edisi terhad hasil kerjasama dengan Suzuki iaitu “Yoshimura Hayabusa X-1” dan yang paling menariknya hanya 100 unit sahaja yang dibina dan dijual.
Pada 2001, motosikal edisi terhad, Yoshimura Katana 1135R diperkenalkan dan dijual. Yoshimura Tornado S-1 pula diperkenalkan pada 2002 dan mula dijual kepada pasaran. Hanya 50 unit yang dibuat dan ini menjadikan ia model ke 3, edisi terhad yang diperkenalkan oleh Yoshimura. Pada tahun yang sama juga, sistem ekzos lumba “Mega Tri-Cone Cyclone” mula dibina dan dipasarkan.
Pada 2003 pula, model Yoshimura M450R diperkenalkan dan dijual mengikut tempahan. Mereka juga telah berjaya mencapai tahap kualiti antarabangsa, ISO9001 pada tahun yang sama diatas kejayaan mereka dalam penyelidikan dan pembangunan ekzos selama penubuhan Yoshimura.
Yoshimura menyambut ulangtahun ke 50 penubuhan mereka pada 2004. Model edisi terhad, Yoshimura Tornado III Zero, diperkenalkan dan hanya 50 unit sahaja dijual pada tahun yang sama. Model ini hebat diperkatakan pada masa itu dan seringkali dianggap sebagai pencabar sengit Yamaha R1. Sistem ekzos “Slip-On” dengan standard EEC dihasilkan secara meluas untuk pasaran antarabangasa ketika itu.
Sepanjang perjalanan Yoshimura, mereka telah bekerjasama sebagai rakan teknologi dan alatganti lumba berprestasi tinggi dengan banyak pasukan lumba motosikal baik di Jepun mahupun di persada antarabangsa. Banyak kejuaraan yang berjaya diraih dengan kehebatan sistem ekzos Yoshimura. Yoshimura Exhaust bukan sahaja cemerlang dalam pembikinan ekzos berprestasi tinggi, malah keupayaan mereka dalam penghasilan motosikal juga tak kurang hebatnya. Kerjasama dengan Suzuki, banyak menghasilkan jentera-jentera yang hebat dilitar lumba dan dijalanan.
Mungkin sekarang, jenama ini tidak berapa terkenal dan tenggelam sedikit berbanding beberapa jenama ekzos buatan Eropah. Akan tetapi, khidmat kecemerlangan sistem ekzos Yoshimura masih lagi ditagih peminat motosikal berkuasa tinggi secara am nya di Asia baik dalam perlumbaan dan juga kegunaan jalanan.
Nantikan kisah-kisah motosikal edisi terhad hasil dari pembikinan Yoshimura pada artikel akan datang!
#TW #TwoWheels #MGPM #MGPFCM #TWlearn #TWinfo #TWhistory #racingexhaust #performanceparts #YoshimuraExhaust #YoshimuraRacing #YoshimuraJapan #YoshimuraUS #Suzuki
Comments
Post a Comment