KEKECEWAAN AKID TERUBAT DI TANGKAK







TANGKAK, Johor, 23 Ogos – Kali terakhir Md Akid Aziz bergelar juara pada Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS ialah di Pusingan 9 di Jempol, Negeri Sembilan musim lalu.

 

Pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor itu sudah lama dahagakan kejayaan seperti itu kerana dia sering berdepan masalah jentera atau terjatuh ketika perlumbaan sedang berlangsung.

 

Pada aksi di Sepang bulan lalu, Akid turut gagal menamatkan perlumbaan.

 

Hari ini, kekecewaan pelumba asal Kuala Lumpur itu terubat selepas impiannya itu berjaya direalisasikan apabila bergelar juara kelas perdana, CP150 pada aksi Pusingan 2 yang berlangsung di Litar Lumba Tangkak.

 

Mendahului perlumbaan sejak lap pertama lagi, Akid sudah tidak menoleh ke belakang dan dia terus konsisten memimpin saingan dengan selesa di hadapan.

 

Perlumbaan sejauh 20 lap itu berlangsung dalam keadaan hujan renyai, tetapi ia tetap tidak menjejaskan fokusnya untuk menguasai saingan.

 

Gaya tunggangannya konsisten, tidak terburu-buru serta bijak mengawal selekoh dalam keadaan litar yang agak licin.

 

Dia memilih untuk mengharunginya dalam situasi selamat meskipun pada dua lap terakhir dia mula diasak pencabarnya, Azroy Hakeem Anuar dari pasukan Idemitsu Honda Yuzy Racing.

 

Suatu ketika, Azroy berjaya memintasnya, namun Akid kembali mengasak di lap terakhir untuk merampas semula kedudukan pendahulu, sekali gus menamatkan perlumbaan tersebut dengan gelaran juara.

 

Dia tiba di garis penamat dengan catatan masa 15:46.337 saat (s) untuk menghadiahkan kemenangan pertama buat pasukannya musim ini

 

Azroy yang muncul terpantas pada sesi kelayakan semalam, sekadar berpuas hati di tempat kedua dengan masa 15:46.651s manakala tempat ketiga menjadi milik pelumba pasukan ONEXOX TKKR SAG Team, Md Muzakkir Mohamed dengan masa 15:50.266s.

 

Juara saingan Pusingan 1, Md Helmi Azman (Hi Rev SCK Honda Racing) serba tidak menjadi hari ini apabila menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-18, sekali gus gagal meraih sebarang mata.  

 

“Semuanya berjalan dengan baik hari ini. Begitupun, perlumbaan agak mencabar kerana litar yang licin, namun saya mengambil pendekatan yang lebih selamat.

 

“Saya hanya fokus untuk mengekalkan rentak tungganggan dan tidak perlu terburu-buru kerana ada beberapa selekoh di litar ini sangat mencabar. Saya hanya perlu sesuaikan gaya tunggangan dengan keadaan litar licin bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku.

 

“Saya ucapkan terima kasih kepada pasukan saya yang telah menyediakan jentera terbaik untuk mengharungi perlumbaan hari ini,” jelas Akid.

 

Ekoran kemenangannya hari ini, Akid kini berada di kedudukan kedua keseluruhan dengan 25 mata. Kedudukan pendahulu berada dalam genggaman Azroy yang sudah mengumpul 36 mata. Helmi pula di tempat ketiga dengan 25 mata.

 

Sementara itu, pasukan ONEXOX TKKR SAG Team meneruskan penguasaan mereka dalam kelas CP125 menerusi kemenangan yang dilakar oleh pelumbanya, Md Shafiq Rasol.

 

Shafiq yang bermula agak perlahan, telah melancarkan asakan pada pertengahan saingan sehingga berjaya menempatkan dirinya dalam kelompok hadapan ketika perlumbaan berbaki tiga lap lagi untuk tamat.

 

Satu persatu pelumba dipintasnya dan situasi tersebut telah memberikan kayakinan kepadanya untuk cuba memberi tentangan kepada pendahulu, Md Aliff Danial Md Asri dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor.

 

Misinya berhasil apabila berjaya memintas Aliff pada lap terakhir bagi membolehkannya memenangi perlumbaan tersebut dengan catatan masa 12:00.737 saat.

 

Malah, Aliff  yang sukar dicabar sejak di awal perlumbaan, turut dipintas oleh rakan sepasukannya, Md Syafiq Rosli yang menamatkan perlumbaan tersebut di kedudukan kedua dengan catatan masa 12:01.866s.

 

Aliff yang merupakan juara keseluruhan kelas Wira musim lalu sekadar berpuas hati di kedudukan ketiga dengan masa 12:02.369s.

 

Ia bukan hari yang bertuah buat Aliff meskipun pada mulanya dia dilihat selesa memimpin perlumbaan, namun kesilapan pada lap terakhir telah memusnahkan impiannya untuk bergelar juara di halaman sendiri.

 

Shafiq Rasol yang muncul naib juara pada aksi Pusingan 1 di Litar Sepang bulan lalu, kini selesa memimpin kedudukan keseluruhan kelas CP125 dengan mengumpul 45 mata diikuti Syafiq Rosli yang sudah mengumpul 31 mata.

 

Juara Pusingan 1, Md Syafieq Aiman Md Fauzi (ONEXOX TKKR SAG Team) gagal meraih sebarang mata pada aksi di Tangkak, namun dia masih selesa di kedudukan ketiga keseluruhan dengan 25 mata.

 

Dalam kelas Wira pula, pasukan ONEXOX SAG Team turut tampil dalam kelas tersendiri apabila pelumbanya, Md Norhakim Norhafizullah memenangi perlumbaan yang dikurangkan ke lapan lap itu gara-gara hujan lebat sebelum ia dimulakan.

 

Kemenangan tersebut telah mengubati kekecewaan Norhakim yang gagal menamatkan perlumbaan pada aksi pembuka tirai di Litar Sepang bulan lalu.

 

Pelumba asal Kelantan itu kini berjaya mengubah kedudukannya dalam carta keseluruhan untuk berada di tempat ketiga dengan 25 mata.

 

Kedudukan pendahulu kini kekal milik pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing, Rahimi Nabil Razu dengan 33 mata.

 

Selepas ini, saingan akan kembali ke Litar Sepang Selatan yang akan menjadi tuan rumah Pusingan 3 pada 2-3 September nanti.

 

 

2020 PETRONAS MALAYSIAN CUB PRIX CHAMPIONSHIP

Round 2 Race Results

 

CP150

 

1. Mohd Akid Aziz (Yamaha) (PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR), 15’46.337s

2. Azroy Hakeem Anuar (Honda) (IDEMITSU HONDA YUZY RACING), 15’46.651s

3. Mohd Muzakkir Mohamed (Yamaha) (ONEXOX TKKR SAG TEAM), 15’50.266s

4. Mohd Iqbal Amri Abd Malek (Yamaha) (AHM MOTORSPORTS), 15’54.853s

5. Ahmad Afif Amran (Yamaha) (PETRONAS SPRINTA YAMAHA-CKJ RACING), 15’55.452s

 

CP125

 

1. Mohd Shafiq Rasol (Yamaha) (ONEXOX TKKR SAG TEAM), 12’00.737s

2. Mohd Syafiq Rosli (Yamaha) (PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR), 12’01.866s

3. Mohd Aliff Danial Mohd Asri (Yamaha) (PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR), 12’02.369s

4. Mohd Khairi Asyraf Mahmood (Yamaha) (IPONE YAMAHA YY PANG RACING TEAM), 12’03.260s

5. Mohd Fareez Afeez Abd Rahman (Yamaha) (IPONE YAMAHA YY PANG RACING TEAM), 12’03.862s

 

WIRA KBS 

 

1. Mohd Norhakim Mohd Norhafizullah (Yamaha) (ONEXOX TKKR SAG Team)

2. Mohd Hazim Mohd Fairues (Honda) (ELF KOYOKO HONDA KC RACING)

3. Abdullah Qayyum Abd Razak (Honda) (HONDA AFB TECH RACING)

4. Akif Hakimi Zainuddin (Yamaha) (WIRAMUDA V-FIERTECH Academy Racing)

5. Mohd Adam Haikal Jahar (Yamaha) (PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing)

 

 

Kedudukan Terkini Selepas Pusingan Kedua MCP


CP150

 

1. Azroy Hakeem Anuar (Honda) (IDEMITSU HONDA YUZY RACING), 36 points

2. Mohd Akid Aziz (Yamaha) (PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR), 25 points

3. Mohd Helmi Azman (Honda) (HI REV SCK HONDA RACING), 25 points

4. Mohd Muzakkir Mohamed (Yamaha) (ONEXOX TKKR SAG TEAM), 24 points

5. Mohd Khairul Ikhwan Ajis (Yamaha) (AHM MOTORSPORTS), 20 points

 

CP150 Team Standings

 

1. IDEMITSU HONDA YUZY RACING, 47 points

2. HI REV SCK HONDA RACING, 34 points

3. ONEXOX TKKR SAG TEAM, 34 points

 

CP125

 

1. Mohd Shafiq Rasol (Yamaha) (ONEXOX TKKR SAG TEAM), 45 points

2. Mohd Syafiq Rosli (Yamaha) (PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR), 31 points

3. Mohd Syafieq Aiman Mohd Fauzi (Yamaha) (ONEXOX SAG TEAM), 25 points

4. Mohd Khairi Asyraf Mahmood (Yamaha) (IPONE YAMAHA YY PANG RACING TEAM), 21 points

5. Mohd Fareez Afeez Abd Rahman (Yamaha) (IPONE YAMAHA YY PANG RACING TEAM), 21 points

 

 

CP125 Team Standings

 

1. ONEXOX TKKR SAG TEAM, 61 points

2. PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR, 47 points

3. ONEXOX SAG TEAM, 38 points

 

WIRA KBS

 

1. Rahimi Nabil Razu (Yamaha) (PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing), 33 points

2. Mohd Hazim Mohd Fairues (Honda) (ELF KOYOKO HONDA KC RACING), 30 points

3. Mohd Norhakim Mohd Norhafizullah (Yamaha) (ONEXOX SAG TEAM),  25 points

4. Mohd Harith Haziq Zamri (Honda) (CASTROL POWER1 RACING TEAM),  25 points

5. Abdullah Qayyum Abd Razak (Honda (HONDA AFB TECH RACING), 22 points

Comments

Follow Us