Media Session With Pit Beirer, Director of KTM Motorsports


 Seperti yang kami nyatakan, semalam telah berlangsung sesi temuramah bersama Pit Beirer iaitu direktor KTM Motorsports. Ia berlangsung dengan teratur, tersusun dan agak meriah. Semua para wartawan mengucapkan tahniah kepada big boss KTM tersebut. Kegembiraan jelas terpancar di wajah Pit hasil daripada kemenangan Brad Binder di czechgp minggu lepas. Tiada kata-kata yang boleh diungkap untuk menyatakan perasaannya.


Seterusnya jom kita selami jiwa KTM....


Permulaan melangkah ke MotoGP,

KTM telah mengumumkan untuk menyertai kategori premier secara penuh bermula Tahun 2016. Keputusan telah dibuat untuk mengekalkan identiti mereka pada jentera yang dipanggil RC16 iaitu penggunaan chassis besi dan suspension WP. Tidak meletakkan target yang tinggi, Pit Beirer faham MotoGP merupakan medan perlumbaan motorsikal yang paling tinggi di dunia. Oleh sebab itu, untuk 2 tahun pertama, beliau memberitahu kepada pasukannya supaya fokus untuk mengikuti perlumbaan sahaja. Ia sebagai proses pembelajaran untuk memahami dunia MotoGP yang sebenar dan mengumpul sebanyak mungkin input berkenaan keperluan yang KTM harus miliki. Semestinya ia bukan sesuatu yang mudah kerana semua bahagian pada jentera ialah buatan sendiri. Pit tidak mahu beralih kepada aluminium untuk chassis kerana menganggap ia merupakan proses pembelajaran semula di mana mereka harus bermula dari kosong. Adapun dengan besi, mereka sudah memiliki banyak pengetahuan berkenaan bahan tersebut maka adalah lebih bagus untuk teruskan sahaja dengan apa yang sudah sedia ada.


KTM & McLaren

Untuk bersaing dengan pasukan-pasukan yang lebih berpengalaman, KTM sedar bahawa mereka harus cepat berkembang. Pit akui kem mereka tiada kepakaran dalam bahagian elektronik untuk dibawa ke jentera RC16. Oleh sebab itu beliau telah menjalinkan hubungan kerjasama dengan Pasukan F1 McLaren bagi menyiapkan sistem electronik pada RC16 yang sangat stabil dan reaktif. Sehingga kini mereka masih belajar daripada McLaren dan percaya satu hari nanti mereka akan mampu keluarkan sistem elektronik sendiri.


Pembangunan Pelumba

KTM merupakan satu-satunya pasukan yang mempunyai akademi pembangunan pelumba khas untuk ke MotoGP iaitu RedBull Rookies Cup. Perjalanan yang diletakkan ialah RedBull Rookies ke moto3 kemudian ke moto2 dan seterusnya ke MotoGP. Pit menegaskan bahawa beliau tidak akan sekali-kali memutuskan laluan ini. Apabila mereka membuat keputusan untuk menarik diri daripada menyalurkan chassis moto2 yang lalu namun Pit tetap ingin Pasukan KTM untuk terus bertanding di moto2. Beliau sangat menitik beratkan soal pembangunan pelumba kerana baginya antara faktor utama untuk berjaya ialah mengenali pelumba dengan sangat dekat maka beliau tidak mahu pelumba-pelumba yang berpotensi lari ke pasukan-pasukan lain. Ternyata kini anak-anak asuhan mereka berada di kem KTM di kelas premier iaitu Brad Binder dan Miguel Oliveira. Jauh di sudut hati Pit, beliau sangat gembira melihat anak-anak berusia 10 tahun mula berentap dan belajar untuk menjadi pelumba terbaik dunia.


Masa Depan KTM

Tidak dinafikan dunia perlumbaan ini pada asasnya ialah ruangan marketing yang mana akan digunakan untuk mengaut keuntungan pada bahagian yang lain. KTM ialah pengeluar motorsikal dunia yang turut memiliki superbike dan antaranya ialah RC8. Pit berkata KTM juga sama seperti pengeluar-pengeluar lain yang mana teknologi yang ada di motogp akan dipindahkan ke jentera jalanan mereka dan KTM juga akan melakukan hal yang sama apabila sudah tiba waktunya nanti. Ia ialah masa untuk mengaut keuntungan atas pelaburan yang telah dibuat selama ini.


#TwoWheels #TWmedia #KTM #pitbeirer

Comments

Follow Us