AKID MENERUSKAN RENTAK CEMERLANG DI PUSINGAN 3



SEPANG, 2 Sept - Juara Pusingan 2 Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS 2020, Md. Akid Aziz meneruskan rentak cemerlang apabila muncul pelumba terpantas pada sesi kelayakan kelas CP150 di Litar Sepang Selatan hari ini.

 

Pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor itu merekodkan masa 1:15.596 saat (s) sepusingan di litar sepanjang 2.6 kilometer itu.

 

Ia membuktikan prestasi jentera Yamaha yang ditunggangnya semakin mendapat pelarasan yang stabil, sekali gus bakal memudahkan misinya memburu kemenangan podium kedua musim ini.

 

Pada sebelah paginya, Akid turut membuktikan kecemerlangannya apabila tampil terpantas ketika mengharungi sesi latihan bebas pertama dengan catatan masa 1:15.587s pada kelajuan 124 kilometer sejam.

 

"Saya berharap agar semuanya berjalan lancar bagi menghadapi perlumbaan esok. Setakat ini, keadaan jentera nampak stabil dan ini memberi keyakinan kepada saya untuk melakukan yang terbaik," jelas pelumba asal Kuala Lumpur itu.

 

Esok, Akid akan memulakan misi dengan sesi Superpole sebelum mengharungi perlumbaan akhir pada sebelah petangnya.

 

Sesi kelayakan hari ini turut menyaksikan kemaraan pelumba pasukan Idemitsu Honda Yuzy Racing, Mohd. Amirul Ariff Musa yang berjaya menempatkan diri selaku kedua terpantas dengan catatan masa 1:15.824s, ketinggalan 0.228s di belakang Akid.

 

Terdahulu pada sesi latihan bebas kedua, Amirul muncul pelumba ketiga terpantas dengan masa 1:16.450s.

 

Rakan sepasukannya, Azroy Hakeen Anuar dilihat lebih berhati-hati pada sesi kelayakan tersebut, namun tetap berpuas hati menghuni kedudukan keempat terpantas dengan masa 1:16.069s.

 

Azroy yang muncul naib juara di Tangkak minggu lalu, lebih banyak menggunakan sesi latihan bebas kedua sebelum itu untuk menguji pelarasan jenteranya dan dia menamatkan sesi tersebut di kedudukan ke-15 dengan masa 1:17.773s.

 

Tempat ketiga terpantas pada sesi kelayakan hari ini dilakar oleh pelumba pasukan Team AHM Motorsports Yamaha Racing, Md Khairul Ikhwan Musa dengan catatan masa 1:16.450s.

 

Juara Pusingan 1, Md Helmi Azman sekadar menghuni kedudukan ketujuh terpantas dengan merekodkan masa 1:16.761s.

 

Sementara itu, sesi kelayakan bagi kelas CP125, sekali lagi menyaksikan

penguasaan pelumba pasukan ONEXOX TKKR SAG Team apabila mereka mendominasi dua kedudukan teratas.

 

Md Syafiq Rasol yang muncul juara di Tangkak minggu lalu merekodkan masa terpantas pada sesi hari ini dengan catatan masa 1:21.347s.

 

Prestasi yang dipamerkan pelumba asal Melaka itu seolah-seolah amaran awal buat barisan pencabarnya bahawa dia akan mengganas lagi di Sepang esok.

 

Sebelum ini, pada aksi Pusingan 1 di Litar Sepang, Syafiq turut menjejak kaki di podium selepas muncul naib juara.

 

Rakan sepasukannya, Md Hafiza Rofa tampil selaku pelumba kedua terpantas hari ini dengan masa 1:21.371s.

 

Pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, Md Syafiq Rosli pula menghuni kedudukan ketiga dengan catatan masa 1:21.412s.

 

Pada aksi di Tangkak sebelum ini, Syafiq merasai nikmat berada di podium selepas muncul naib juara.

 

Berdasarkan prestasi hari ini, besar kemungkinan perlumbaan akhir kelas CP125 minggu ini bakal dikuasai wira-wira pasukan ONEXOX TKKR SAGTeam yang dilihat semakin stabil di setiap pusingan.

 

Esok akan menjadi penentuan buat semua kerana mereka akan kembali ke gelanggang untuk memburu penyudah podium. Keputusan hari ini bukan jaminan untuk melakar kemenangan kerana setiap pasukan akan tampil dengan prestasi yang berbeza.


2020 PETRONAS MALAYSIAN CUB PRIX CHAMPIONSHIP

Round 3 – CP150 Qualifying Results

 

1. Mohd Akid Aziz (Yamaha) (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor)  1’15.596s

2. Mohd Amirul Ariff Musa (Honda) (Idemitsu Honda Yuzy Racing) 1’15.824s

3. Mohd Khairul Ikhwan Ajis (Yamaha) (Team AHM Motorsports Yamaha Racing)  1’16.069s

4. Azroy Hakeem Anuar (Honda) (Idemitsu Honda Yuzy Racing)   1’16.089s

5. Mohd Ramdan Rosli (Yamaha) (ONEXOX TKKR SAG Team)   1’16.228s

 

 

Round 3 – CP125 Qualifying Results

 

1. Mohd Shafiq Rasol (Yamaha) (ONEXOX TKKR SAG Team)                                                                1’21.347s

2. Mohd Hafiza Rofa (Yamaha) (ONEXOX TKKR SAG Team)                                                                1’21.371s

3. Mohd Syafiq Rosli (Yamaha) (PETRONAS Spritna Yamaha Maju Motor)                         1’21.412s

4. Mohd Adib Rosley (Yamaha) (IPONE Yamaha YY Pang Racing Team)                                        1’21.589s

5. Mohd Fareez Afeez Abd Rahman (Yamaha) (IPONE Yamaha YY Pang Racing Team)         1’21.780s

Comments

Follow Us