KEJUARAAN MAM SPEEDWEEK PUSINGAN KEDUA BERLANGSUNG DENGAN JAYANYA DI LITAR ANTARABANGSA KART SEPANG




Persatuan Pemotoran Malaysia (MAM),  MAM Speedweek Pusingan Kedua telah berlangsung dengan jayanya di Litar Antarabangsa Kart Sepang. Dengan semangat dan disiplin yang tinggi, kesemua peserta dan krew pasukan yang terlibat,  telah berjaya mematuhi setiap peraturan dan garis panduan yang ketat di bawah arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha mencegah penularan wabak COVID-19.

Walaupun berlumba dalam keadaan norma baharu, setiap peserta yang beraksi di litar masing-masing menunjukkan semangat dan aksi perlumbaan yang cukup mantap bagi pusingan kali ini. Pusingan kedua MAM Speedweek dimeriahkan lagi dengan sokongan padu dari para penyokong dan penonton yang menyaksikan perlumbaan ini secara litas langsung ‘Facebook Live’ menerusi Facebook BRAAAP Motorsports. 
Untuk keputusan perlumbaan bagi pusingan kedua, Mohd Hafieenaz mengungguli kategori SB150 4T mengalahkan Ahmad Nor Fitri dengan lebih empat saat dalam saingan 10 pusingan sekeliling litar, manakala tempat ketiga diduki oleh Yunus. Kategori MP150 dimenangi oleh Abdul Muhaimin dengan saingan yang sangat sengit oleh Muhammad Shafiq Ezzariq di tempat kedua dan Muhammad Nazif di tempat ketiga. Bagi kategori OMR SB390, Ahmad Farhan mengungguli perlumbaan dengan catatan masa keseluruhan 9 minit 41.010 saat, Eddy Erman di tempat kedua dan Brian Kan pada kedudukan ketiga. 

Seterusnya, kategori SB150 2T dimenangi oleh Muhammad Aqid dengan catatan masa 6 minit 00.572 saat, manakala ditempat kedua dan ketiga diduki oleh Muhammad Fairuz dan Syamsul Akmeer. Kategori SB250 pula diungguli oleh Muhammad Amir Izzat yang berjaya menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 9 minit 28.755 saat, Azizul Khairi di tempat kedua dan Muhammad Nur Haikal di tempat ketiga. Akhir sekali, kategori MP180 dimenangi oleh Muhammad Emir Firdaus dengan catatan masa 9 minit 18.161 saat, Mohd Emy di tempat kedua dan Muhammad Muzakkir yang ketiga. 

Azuan Izadee, Pengerusi BRAAAP Motorsports Club berkongsi,”Kami berasa amat bersyukur sekali kerana semua peserta dan krew yang terlibat berjaya memberikan kerjasama yang begitu baik sekali dalam mematuhi peraturan dan garis panduan yang telah ditetapkan. Sekalung tahniah buat para pemenang bagi pusingan kedua ini, dan kami berharap agar semua pelumba dan krew pasukan akan terus bersemangat untuk pusingan yang akan datang. Selain itu, pada bakat-bakat dan pelumba baharu yang berminat untuk menyertai pusingan ketiga akan datang, kami sangat mengalu-alukan penyertaan anda”. 

MAM Speedweek pusingan ketiga dijadualkan akan berlangsung pada 25 Oktober, pusingan empat dan terakhir pula adalah pada 15 November dan 6 Disember (2020) di Litar Antarabangsa Kart Sepang. Siri ini diperakui oleh Persatuan Pemotoran Malaysia (MAM) dan disokong oleh Kementerian Belia dan Sukan. Liputan acara ditaja oleh Tuneboss ECU Malaysia sementara Hi-Rev dan IRC adalah penaja kategori. Keputusan penuh saingan Pusingan Kedua Kejuaraan MAM Speedweek boleh didapati menerusi laman Facebook BRAAAP Motorsports.

#TwoWheels #TWmedia
#MestiBRAAAPLagi
#MAMSpeedweek
#TunebossECUMalaysia
#HiRevLubricants#
#IRCTires

Comments

Follow Us