- Get link
- X
- Other Apps
Pelumba dari Boon Siew Honda Racing Team, Mohd Zaqhwan Zaidi dinobatkan sebagai juara untuk tirai pembukaan Malaysia Superbike Championship (MSBK) 2020 Pusingan 1 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada hari ini.
Berasal dari Selangor, pelumba profesional ini mengungguli Perlumbaan 1 bagi kategori MSBK1000 dengan catatan masa 2’09,130s. Dari mula hingga akhir perlumbaan, Zaqhwan memecut dan mengekalkan kedudukannya sebagai pendahulu.
Zaqhwan berkata,”Saya berasa sangat gembira setelah hampir 9 bulan tidak beraksi di litar dan akhirnya saya kembali untuk MSBK setelah dibawa oleh pasukan Boon Siew Honda. Secara personal, saya bangga kerana dapat mengekalkan prestasi dan rentak saya untuk beraksi dengan lebih baik”.
“Untuk perlumbaan yang bakal berlangsung esok, saya akan melakukan yang terbaik kerana MSBK merupakan platform sukan 2-roda tempatan yang bertaraf elit”.
Juara bertahan MSBK1000 tahun 2019, Farid Badrul dari Horizon Racing Team menamatkan perlumbaan dengan berada di tempat kedua dengan catatan masa 2’09.329s dan pelumba dari MME Racing Team Malaysia, Daniel Haiqal di tempat ketiga dengan catatan masa 2’11.317s.
Seterusnya, Mohd Ibrahim Mohd Norrodin dari SIC Racing Team muncul juara bagi kategori MSBK600. Menggunakan jentera lumba Yamaha R6, kelajuan Ibrahim tidak dapat disekat oleh pencabar terdekat, Azroy Hakeem dari Boon Siew Honda Racing Team di tempat kedua. Helmi Azman dari Hi-Rev SCK Honda Racing Team menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.
Ibrahim berkata,”Saya cuba sebaik mungkin untuk mengekalkan posisi apabila berlumba dengan MSBK1000. Ini merupakan pengalaman baru untuk saya. Akhir sekali, saya ingin berterima kasih kepada rakan pasukan kerana mereka telah melakukan yang persiapan yang terbaik pada hari ini”.
Mohd Idlan dari Boon Siew Honda Racing Team dinobatkan sebagai juara untuk MSBK250 dengan catatan masa 2’30.909s. Pelumba dari SIC Racing Team, Mohd Danial Syahmi menamatkan perlumbaan di tempat kedua manakala Mohd Izam Ikmal berada di tempat ketiga.
Comments
Post a Comment