PELUMBA-PELUMBA CILIK LEBIH BERSEDIA UNTUK BERAKSI DI KEJOHANAN SIC MINIGP PUSINGAN 2


Debaran kian dirasai buat 21 pelumba-pelumba cilik apabila mereka akan kembali berentap untuk merebut gelaran juara untuk Kejohanan SIC MiniGP Pusingan 2 yang akan berlangsung di Litar Kart Antarabangsa Sepang (SIKC) pada Ahad, 6 September 2020 ini.

Juara bagi tirai pembukaan SIC MiniGP Pusingan 1 untuk kategori 110CC, Qabil Irfan tidak sabar untuk mempamerkan aksinya pada hujung minggu ini. Manakala, Hakim Danish, juara untuk kategori 160CC, begitu optimistik untuk mempertahankan status beliau sebagai pendahulu kejohanan.

Sebelum ini, mereka masih dalam fasa penyesuaian, di mana pelumba-pelumba cilik masih dalam proses menyesuaikan diri dengan litar, pengendalian jentera lumba, keadaan cuaca, dan sebagainya.

Latihan yang telah diberikan oleh pelatih professional dan mekanik-mekanik terlatih menjadi pembakar semangat untuk mereka berlumba dengan lebih yakin, lebih aggresif, dan juga lebih kompetitif antara satu sama lain.

Jentera lumba juga telah diperbaiki berdasarkan maklum balas daripada pelumba-pelumba cilik. Suspensi jentera lumba telah diubah suai untuk berada dalam keadaan lebih sempurna. Ini membuatkan jentera mereka lebih laju berbanding sebelum ini.

Buat peminat sukan 2 roda, ikuti program penuh sesi kelayakan, Perlumbaan 1 dan Perlumbaan 2 Kejohanan MiniGP SIC melalui “Facebook Livestream” di laman Facebook Kejohanan SIC MiniGP pada hari Ahad.



Comments

Follow Us