Peminat MotoGP Tidak Akan Terlepas Aksi Litar Dengan Sistem ‘Onboard Vislink’


Ketika jentera MotoGP bergerak lebih dari 200 batu sejam, keadaan dapat berubah dalam satu per seratus saat. Litar, angin, kelajuan, jentera dan penunggang semuanya menjadi satu ketika perlumbaan MotoGP berlangsung dan ianya memerlukan sistem khusus untuk menyiarkan acara tersebut secara langsung.

Sebagai contoh, ketika perlumbaan MotoGP berlangsung di Litar Assen, sejumlah 137 kamera diperlukan bagi menyajikan penonton di litar dan di rumah dengan aksi-aksi yang mengujakan namun bagaimanakah video dan audio dihantar dari tepi litar, helikopter dan jentera lumba kepada studio produksi dan seterusnya ke kaca TV kita?

Vislink merupakan syarikat penyediaan sistem teknologi gelombang mikro dan penyiaran tanpa wayar yang ditubuhkan di Jerman semenjak 50 tahun dahulu (kini berpengkalan di Amerika Syarikat), telah bekerjasama Bersama Dorna semenjak 2015 dan kerjasama ini diteruskan lagi sehingga penghujung musim 2023. Bermula dengan teknologi sokongan didalam ketenteraan, akhirnya Vislink terus melebarkan sayap menjadi penyedia solusi penyiaran kepada sukan-sukan di dunia, dari bola sepak hinggalah perlumbaan MotoGP. 

Jentera moden MotoGP direka khas untuk menggabungkan modul ‘Vislink HDCU Transmitter’, yang memancarkan video dan audio berkualiti HD dari empat kamera onboard ke pusat kawalan. Di samping itu, sistem ini juga mengumpulkan dan menghantar data kelajuan, posisi jentera, telemetri dan lain-lain informasi. Sistem ‘High Definition Control Unit’ (HDCU) menggabungkan kamera HD yang sangat kecil, dengan sistem transmisi yang kuat menggunakan pengekodan H.264 dan skema modulasi Vislink yang dioptimumkan khusus untuk penggunaan tenaga kuasa yang sangat rendah serta mampu menahan gegaran dan isyarat tidak terganggu ketika jentera didalam kelajuan tinggi.

Untuk melengkapkan hidangan aksi-aksi secara langsung kepada penonton, kamera pit lane dilengkapi dengan pemancar HD Clip-On Vislink dan helicopter pula dilengkapi dengan pautan video tanpa wayar Vislink untuk rakaman aksi dari udara, semuanya dihantar melalui sistem penerimaan Vislink MDR.

Dengan perkhidmatan yang diberikan oleh Vislink, Dorna mampu memberikan pengalaman baru kepada penonton dengan kelajuan tinggi didalam kualiti tinggi (HD).

“Sebagai pemegang hak komersial dan televisyen eksklusif untuk MotoGP, Dorna Sports berdedikasi untuk memberikan pengalaman perlumbaan dinamis kepada peminat. Hubungan rapat Vislink dengan pasukan R&D dan kejuruteraan Dorna sejak beberapa tahun kebelakangan ini membolehkan kami bekerjasama dan menghasilkan penyelesaian khusus untuk menyediakan penyiaran HD yang luar biasa” - Sergi Sendra Vives, Pengarah Produksi TV, Dorna Sports

#TwoWheels #TW #TWmedia #TWinfo #TWtech #MGPM #MGPFCM #Vislink #Dorna

 

Comments

Follow Us