MOHD HELMI AZMAN, MOHD SYAFIQ ROSLI, RAHIMI NABIL RABU DINOBATKAN JUARA CUB PRIX 2020





Pemburuan takhta musim 2020 Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS berakhir di Pusingan 8 dengan Mohd Helmi Azman, Mohd Syafiq Rosli dan Rahimi Nabil Razu masing-masing dinobatkan sebagai juara CP150, CP125 dan Wira KBS.

 

Perlumbaan Akhir CP150 bermula dengan dua pendahulu kejuaraan, Mohd Helmi Azman (Hi Rev SCK Honda Racing) dan Azroy Hakeem Anuar (Idemitsu Yuzy Honda Racing)  berada di barisan hadapan. Namun, ia ternyata tidak memberikan sebarang kelebihan apabila kedua-dua pelumba Honda itu disaingi hebat 22 pelumba lain dengan kesemuanya ingin menamatkan musim 2020 dengan kemenangan.

 

Corak tunggangan Azroy dan Helmi kelihatan berbeza dengan masing-masing menggunakan strategi yang berlainan. Azroy mengekalkan persembahan konsisten di kalangan lima pelumba teratas manakala Helmi pula lebih selesa menunggu peluang di belakang kelompok pertama dalam enam lap pertama. Helmi mula mengorak langkah pada lap ke-7, secara mendadak memperbaiki kedudukan dari posisi ke-9 ke posisi pertama dalam jarak satu lap.

 

Pertarungan antara Helmi dan Azroy dalam tiga lap terakhir dirumitkan lagi dengan kehadiran ramai lagi pelumba dalam kelompok utama. Apabila bendera penamat perlumbaan dikibarkan pada akhir lap ke-11, pelumba pasukan AHM Motorsports Yamaha Racing, Mohd Khairul Ikhwan Ajis muncul sebagai pemenang perlumbaan penutup tirai dengan catatan masa 14’41.976s, hanya 0.001 saat di hadapan Mohd Akid Aziz dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor.

 

Calon Juara Keseluruhan, Azroy, menamatkan perlumbaan di tempat ke-tiga, keputusan podium ke-enam musim ini. Namun demikian, keputusan itu tidak mencukupi untuk pelumba Idemitsu Yuzy Honda Racing itu merealisasikan impian menjulang piala CP150 musim 2020.

 

Kedudukan kelima dalam perlumbaan CP150 Akhir sudah memadai untuk menghadiahkan gelaran Juara CP150 kepada Mohd Helmi Azman. Ini merupakan kali pertama gelaran juara kategori perdana dimenangi oleh pasukan Honda sejak kategori CP150 diperkenalkan dalam musim 2017. Kemenangan ini juga merupakan kemenangan pertama pasukan Hi Rev SCK Honda Racing sejak musim 2012.

 

“Saya begitu berterima kasih kepada pasukan, kru mekanik, keluarga dan sponsor. Perlumbaan akhir ini agak sengit kerana saya dengan Azroy masing-masing fikirkan hal kejuaraan. Saya sebenarnya agak kecewa dengan keputusan dari pusingan penutup tirai ini kerana saya sebenarnya mensasarkan kedudukan podium. Akan tetapi, saya dihimpit di garisan penamat pada saat-saat terakhir dan terpaksa akur di tempat ke-lima,” jelas Helmi yang berjaya merangkul 143 mata kejuaraan di tangga teratas CP150. Di samping itu, pasukan Hi Rev SCK Honda Racing turut menjulang gelaran Juara pasukan CP150 dengan 192 mata kejuaraan.

 

Azroy Hakeem Anuar kecewa menamatkan musim 2020 di tangga ke-2 manakala Mohd Muzakkir Mohamed dari pasukan ONEXOX TKKR SAG Team berjaya menduduki tangga ke-3 keseluruhan.

 

Dalam perkembangan lain, perebutan tiga-penjuru antara Mohd Syafiq Rosli (PETRONAS Sprinta Yamaha-Maju Motor), Mohd Shafiq Rasol (ONEXOX TKKR Racing Team) dan Mohd Adib Rosley (IPONE Yamaha YY Pang Racing) berakhir dengan gelaran Juara CP125 di dalam tangan Mohd Syafiq Rosli walaupun hanya menamatkan perlumbaan penutup tirai di tempat ke-lima. Mohd Shafiq Rasol yang memimpin buruan kejuaraan pada permulaan perlumbaan terkandas di lap ke-tiga dan hanya mampu mencatat keputusan posisi ke-15 pada akhir perlumbaan. Adib Rosley pula menamatkan perlumbaan di tempat ke-tujuh.

 

Perlumbaan terakhir CP125 musim 2020 dimenangi Mohd Khairi Asyraf Mahmood dari pasukan IPONE Yamaha YY Pang Racing Team dengan catatan masa 11’27.070s. Khairi diikuti rakan sepasukannya, Mohd Fareez Afeez Abd Rahman di tempat ke-dua. Mohd Hafiza Rofa menduduki tempat ke-tiga dengan 11’27.400s.

 

Dalam kategori Wira KBS pula, Rahimi Nabil Razu berjaya merampas gelaran juara dengan kemenangan ke-empatnya musim ini dengan catatan masa 8’41.214s. Pelumba Yamaha itu menghadiahkan gelaran juara Wira kedua berturut-turut kepada pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing dengan jumlah 168 mata.

 

Mohd Asyraf Daniel Mohd Zamri mengungguli kategori PETRONAS Spritna Pro-Am Cup dengan 144 mata. Mohd Danish Aiman Zamrul memenangi gelaran juara Yamaha PETRONAS Super Series manakala takhta Aeon Credit Service Yamaha NVX Challenge dimenangi oleh Mohd Aiman Aziz. Pelumba asalan Johor, Nabil Abd Rahman menjuarai kategori Honda Dash 125 Challenge.

 

 

ROUND 8 RESULTS

 

CP150

1. Mohd Khairul Ikhwan Ajis (Yamaha, AHM Motorsports Yamaha Racing)                   14’41.976s

2. Mohd Akid Aziz (Yamaha, PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor)                                         14’41.977s

3. Azroy Hakeem Anuar (Honda, Idemitsu Honda Yuzy Racing)                                                   14’42.031s

4. Mohd Muzakkir Mohamed (Yamaha, ONEXOX TKKR Racing Team)                                        14’42.052s

5. Mohd Helmi Azman (Honda, Hi Rev SCK Honda Racing)                                                                14’42.163s

 

CP125

1. Mohd Khairi Asyraf Mahmood (Yamaha, IPONE Yamaha YY Pang Racing Team)        11’27.070s

2. Mohd Fareez Afeez Abd Rahman (Yamaha, IPONE Yamaha YY Pang Racing Team)         11’27.352s

3. Mohd Hafiza Rofa (Yamaha, ONEXOX TKKR Racing Team)                                                                11’27.400s

4. Mohd Syafieq Aiman Mohd Fauzi (Yamaha, ONEXOX Racing Team)                                        11’27.538s

5. Mohd Syafiq Rosli (Yamaha, PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor)                         11’27.793s

 

WIRA KBS

1. Rahimi Nabil Razu (Yamaha, PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing)                                             8’41.214s

2. Mohd Idlan Haqimi Raduan (Honda, Idemitsu Kozi DFZ Yam Honda Racing)                             8’41.388s

3. Mohd Adam Haikal Jahar (Yamaha, PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing)                             8’41.422s

4. Mohd Aeiman Hafidz Shahril (Yamaha, ONEXOX Racing Team)                                     8’41.627s

5. Mohd Syamil Amsyraf Mohd Iffende (Yamaha, PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing)           8’41.877s

 

CHAMPIONSHIP STANDINGS

 

CP150

1. Mohd Helmi Azman (Honda, Hi Rev SCK Honda Racing)                                                                143 points            

2. Azroy Hakeem Anuar (Honda, Idemitsu Honda Yuzy Racing)                                                   136 points

3. Mohd Muzakkir Mohamed (Yamaha, ONEXOX TKKR SAG Team)                                     81 points

4. Mohd Aiman Tahiruddin (Yamaha, PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing)                            80 points

5. Mohd Khairul Ikhwan Ajis (Yamaha, AHM Motorsports Yamaha Racing)                   77 points

 

CP125

1. Mohd Syafiq Rosli (Yamaha, PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor)                         117 points

2. Mohd Adib Rosley (Yamaha, IPONE Yamaha YY Pang Racing Team)                                        113 points

3. Mohd Shafiq Rasol (Yamaha, ONEXOX TKKR SAG Team)                                                                108 points

4. Mohd Fareez Afeez Abd Rahman (Yamaha, IPONE Yamaha YY Pang Racing Team)         92 points

5. Mohd Hafiza Rofa (Yamaha, ONEXOX TKKR SAG Team)                                                                89 points

 

WIRA KBS

1. Rahimi Nabil Razu (Yamaha, PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing)                                             168 points

2. Mohd Aeiman Hafidz Shahril (Yamaha, ONEXOX SAG Team)                                                     137 points

3. Mohd Izzat Mohd Raduan (Yamaha, ONEXOX SAG Team)                                                                88 points

4. Mohd Harith Haziq Zamri (Honda, Castrol Power1 Racing Team)                                     77 points

5. Mohd Norhakim Norhafizullah (Yamaha, ONEXOX SAG Team)                                     75 points

Comments

Post a Comment

Follow Us