Hakimi dan Boon Siew Honda


Permata muda yang kini berada bawah naungan Boon Siew Honda, Hakimi mengorak langkah untuk terus maju di bidang permotoran bukan sahaja di tanah air malah di pentas yang lebih besar. Semalam kami sempat menemuramah pelumba muda yang tidak lokek dengan senyuman ketika berbicara ini, berkongsi tentang keadaan sekarang dan haluan mendatang dalam masa terdekat ini.

Hakimi bermula di MCP bersaing dalam kategori Honda One Make Challenge pada Tahun 2019 telah unggul sebagai juara keseluruhan. Beliau telah memenangi lebih separuh perlumbaan yang diadakan sepanjang musim lepas. Kecemerlangan itu telah membuka mata pihak Boon Siew Honda untuk terus mengikatnya dengan kontrak 2+1 tahun dan mula mengatur perjalanan karier beliau. Target utama BSH buat Hakimi ialah menyertai perlumbaan-perlumbaan di luar negara memandangkan beliau masih muda dan mampu untuk pergi lebih jauh.

Rancangan untuk Tahun 2020 ialah Hakimi diletakkan dalam saingan Malaysia Cub Prix dan juga Thailand Talent Cup. Di MCP beliau telah diserap ke Pasukan YAM Honda dan bagi saingan TTC pula, tiada rezeki buat dirinya untuk menunjukkan kebolehan yang dimiliki memandangkan dunia dilanda wabak pandemi covid19.

Bagi tahun ini pula beliau akan meneruskan saingan di MCP dan bersaing di lapangan baru buat dirinya iaitu perlumbaan motorsikal paling berprestij di negara kita, MSBK. Boon Siew Honda membekalkan sebuah jentera Honda CBR250RR untuk digunakan dalam saingan MSBK nanti. Pada minggu lepas Hakimi telah berpeluang melakukan sesi ujian di Sepang dengan sokongan daripada pihak teknikal BSH dan juga bantuan rakan sepasukannya, Idlan. Sesi ujian tersebut telah berlangsung dengan baik dan Hakimi amat teruja dengan kelincahan dan kuasa yang dimiliki oleh CBR250RR itu. Kelajuan maksimum yang dicapainya adalah melebihi 200km/j dan itu ialah pengalaman pertama buat beliau memacu dengan kelajuan sebegitu.

Kami dapat lihat keinginan dan hasrat Hakimi yang cukup mendalam untuk beraksi di pentas-pentas besar tanah air dan luar negara. Dengan ini kami serta seluruh peminat sukan permotoran tanah air berdoa agar Hakimi mendapat peluang dan kepercayaan untuk menunjukkan kebolehan bersaing sebagai seorang pelumba motorsikal profesional bukan sahaja di Malaysia malah ke pentas Asia dan seterusnya dunia pada satu hari nanti. Dalam suasana keluarga yang cukup kuat menyokong apa yang dilakukan maka tidak mustahil buat Hakimi untuk berjaya kelak.

#TwoWheels #TWmedia #TW #MGPM 🇲🇾#Hakimi #BoonSiewHonda

 

Comments

Follow Us