- Get link
- X
- Other Apps
Setelah sekian lama menunggu, sesi pemilihan bagi Kejohanan SIC MiniGP musim ke-2 telah berlangsung selama dua hari dari 29 – 30 Mac 2021 di Sepang International Kart Circuit (SIKC). Seramai 25 orang pelumba-pelumba muda berumur 9 hingga 14 tahun telah dipilih untuk mengikuti program akar umbi sukan permotoran dua roda ini.
Untuk SIC MiniGP musim ke-2, seramai 63 peserta telah membuat pendaftaran untuk sesi pemilihan ini. Mereka dikehendaki membawa kelengkapan asas perlumbaan sama seperti edisi yang lepas. Sesi pemilihan yang sepatutnya dijalankan selama satu hari sahaja terpaksa ditunda dan dilanjutkan kepada hari berikutnya atas faktor cuaca yang kurang memuaskan.
Semasa sesi pemilihan, pelumba-pelumba perlu melalui pelbagai ujian seperti pengendalian jentera, ketahanan mental, fizikal dan sebagainya. Antara kriteria-kriteria yang dinilai semasa sesi pemilihan adalah dari segi teknik tunggangan, pengendalian jentera, tahap pemfokusan, kemahiran berkomunikasi, tahap kecergasan dan lain-lain.
Program ini telah membuahkan hasil dimana Hakim Danish, juara edisi pertama kejohanan SIC MiniGP bagi kategori 160cc pada musim lepas telah menunjukkan prestasi yang baik di Asia Talent Cup di Qatar baru-baru ini sekaligus telah menaikkan kredibiliti inisiatif program akar umbi untuk mencari pelapis serta mengasah bakat bagi membuka peluang untuk beraksi di kejohanan antarabangsa dalam sukan permotoran dua roda seiring dengan “Impian Ke MotoGP”.
Kejohanan SIC MiniGP musim ke-2 pada tahun ini akan berlangsung sebanyak 4 pusingan dengan jumlah 10 perlumbaan di mana Pusingan 1 pada 19 – 20 Jun 2021, Pusingan 2 pada 17 – 18 Julai 2021, Pusingan 3 pada 14 – 15 August 2021 dan Pusingan Akhir pada 10 – September 2021. Sebarang perubahan pada kalendar perlumbaan tertakluk pada keadaan semasa pandemik Covid-19 di Malaysia.
Pengurus Pasukan ZK Racing
ZULFAHMI KHAIRUDDIN
"Saya sangat teruja untuk memulakan musim ke-2 ini dan berharap dapat melatih mereka sebaik mungkin untuk melahirkan pelumba-pelumba yang lebih kompetitif melalui program ini. Terima kasih saya ucapkan diatas sokongan yang telah diberikan oleh pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Sepang International Circuit (SIC) dan semua penaja-penaja teknikal untuk program ini. Sememangnya bukan mudah untuk kami mencari bakat-bakat yang terbaik untuk melengkapkan barisan pelumba pada musim ini. Kebanyakan mereka telah membuat persediaan awal dari segi kajian dan latihan sebelum hadir ke sesi pemilihan dan saya kagum dengan kemahiran yang mereka tunjukkan."
Ketua Pegawai Eksekutif SIC
AZHAN SHAFRIMAN HANIF
"Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih juga kepada YB Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican, serta warga Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di atas usaha dan kerjasama yang diberikan untuk mengaktifkan semula sukan permotoran di Malaysia. Saya yakin program ini akan melahirkan lebih ramai pelumba-pelumba berbakat pada masa yang akan datang seterusnya dapat mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia."
Comments
Post a Comment