Dari ‘Pitlane’ ke Mencipta Sejarah



Perlumbaan GP Doha semalam sudah pastinya menggamit beribu kenangan selaku perlumbaan kedua musim ini. Banyak kejutan yang berlaku. Kenangan pahit dan manis ketika perlumbaan.

Ada yang berkata, masih terlalu awal untuk kita saksikan beberapa adegan menarik, persaingan sengit dan aksi kejar mengejar yang cukup mendebarkan di permulaan musim. Namun itulah aksi-aksi yang cukup hebat kita dapat saksikan di kedua-dua perlumbaan pembukaan yang berlangsung di Qatar.

Sebelum ini, mungkin tiada siapa kenal akan nama Pedro Acosta. Pemuda berusia 16 tahun kelahiran Sepanyol ini, semalam telah memberi ‘tamparan hebat’ buat peminat antarabangsa dan khususnya pada pasukan lumba yang bertanding. Aksi hebatnya semalam berjaya mencatatkan namanya di dalam sejarah sukan perlumbaan MotoGP.

Sebelum ini tiada siapa pernah lakukannya, Namun, Acosta membuktikan bahawa keazaman dan kesungguhan mampu membuahkan hasil. Bermula dari ‘pitlane’ akibat didenda, ketinggalan hampir 9 saat dari kelompok pertama, akhirnya dia berjaya merampas kedudukan pertama pada beberapa pusingan terakhir dan seterusnya menjadi juara dalam kategori Moto3 di GP Doha semalam.

Mula mengenali jentera 2 roda seawal usia 5 tahun. Pada ketika itu, bapanya membelikan sebuah jentera ‘motocross’ mini sekadar suka-suka namun timbul minat mendalam pada dirinya tentang sukan motosikal. Pada 2013, Acosta mula menceburkan diri dalam perlumbaan. Perlumbaan pertamanya adalah di kejohanan minimoto @ pocketbike tempatan dan berjaya menjuarai perlumbaan berkenaan.

Pada 2015 dia mula berlumba dalam kategori MiniGP 110, juga berjaya menduduki tempat pertaman keseluruhan. Bakatnya mula diintai apabila menyertai sesi ujian Cartagena pada 2016. Ketika itu dia mengendalikan jentera dalam kelas MaxxiGP 220. 

Pada 2017, dia mula bertanding dalam kejohanan Pra-Moto3 dan juga berjaya menjuarai pertandingan itu. Tahun 2018 adalah titik permulaan karier beliau dalam sukan permotoran secara separa-pro dimana dia berlumba dalam Kejohanan Moto3 Junior. Bakat beliau semakin terserlah ketika berlumba secara profesional di Kejuaraan RedBull Rookies Cup pada 2019. Berjaya mencatat podium kedudukan pertama sebanyak 3 kali, podium kedua sebanyak 2 kali dan mejadi  naib juara keseluruhan pada tahun tersebut. Tahun berikutnya, 2020 menjadi sejarah dalam hidupnya apabila menjadi Juara Keseluruhan kejohanan berprestij itu.

Kehebatan Acosta mula diintai pasukan-pasukan besar. Dia dirisik pasukan ternama KTM Ajo untuk berlumba bersama  mereka di kejuaran terulung dunia, MotoGP dalam kategori Moto3. Tahun ini merupakan penampilan pertamanya dalam kejuaraan dunia bersama pasukan KTM Ajo. Semalam, dia menang saingan Moto3 di GP Doha seterusnya mencatat sejarah apabila muncul sebagai pelumba pertama yang menjuarai perlumbaan dengan bermula dari ‘pitlane’.

Pedro Acosta pasti menjadi buah mulut semua sehinggalah tamat musim ini. Bakat dan persembahan beliau pasti ditagih oleh banyak pasukan ternama selepas ini. Namun, mampukan Acosta mengekalkan prestasinya dengan cemerlang sepanjang musim ini? Sama-sama kita nantikan.

Teruskan bersama Two Wheels..!!

#twowheels #twmedia #tw #pedroacosta #ktmajo #ktm #rookie
 

Comments

Follow Us