KEHADIRAN PENONTON MASIH TIDAK AKAN DIBENARKAN UNTUK PUSINGAN KEDUA CUB PRIX

Kehadiran penonton masih tidak akan dibenarkan untuk pusingan kedua Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS yang bakal berlangsung di Litar Sepang Utara minggu ini (3hb dan 4hb April, 2021).

 

“Sememangnya kami amat merindui suasana meriah dengan kehadiran para penonton dan peminat sukan lumba motosikal. Akan tetapi, Kejuaraan Cub Prix akan bercuti selama dua bulan selepas pusingan kedua ini untuk menghormati bulan mulia Ramadhan serta Syawal. Oleh itu, kami berkeputusan untuk mengikuti SOP tanpa penonton buat masa ini. Dengan lebih masa untuk membuat persiapan yang sepatutnya sebelum kehadiran penonton dibenarkan semula, pihak penganjur akan lebih bersedia untuk memastikan suasana yang selamat untuk semua,” kata Ron Hogg, Pengarah Safe Aim Mutual Sdn Bhd,  

 

Pusingan kedua musim 2021 akan bermula dengan Mohd Muzakkir Mohamed dari pasukan ONEXOX TKKR Racing Team mendahului buruan takhta kategori premiere CP150. Dalam kategori pertengahan CP125 pula, juara bertahan Mohd Syafiq Rosli dan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor masih dominan setelah berjaya meragut bendera kemenangan pada pusingan pembuka tirai dua minggu lalu.

 

 

Dalam kategori Wira KBS pula, pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha 31 Racing cukup dominan dalam pusingan pertama apabila ketiga-tiga pelumba pasukan, Mohd Syamil Amsyar Iffende, Danial Johan serta Mohd Aqil Danial Nasrul berjaya menyambar kedudukan 1-2-3 dalam perlumbaan Wira Akhir.

 

Pusingan kedua di Litar Sepang Utara akan bermula dengan sesi latihan dan kelayakan pada hari Sabtu. Perlumbaan akhir akan bermula dari jam 12 tengah hari pada hari Ahad, 4hb April, 2021.

 

Comments

Follow Us