FIM MINIGP MALAYSIA SERIES PLATFORM CUNGKIL BAKAT BARU SUKAN PERMOTORAN DUA RODA





Kejohanan FIM MiniGP Malaysia Series akan membuka tirai 2021 dan buat julung kalinya akan diadakan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC). Kejohanan ini bakal memberi peluang kepada 15 pelumba muda bagi pembangunan akar umbi sukan permotoran dua roda. 

FIM MiniGP Malaysia Series merupakan program milik Federation Internationale de Motorcyclisme (FIM), sebuah badan pengelola sukan dua roda dunia dan FIM telah memberi mandat kepada Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) selaku badan induk sukan permotoran Negara untuk menganjurkan dan mengawal selia kejohanan berprestij ini sebagai permulaan ke peringkat lebih tertinggi. 

Pihak MAM, SIC dan ZK Racing akan berganding bahu dalam memastikan objektif program untuk mencari pelapis dan mengasah bakat baru akan berjalan dengan baik seterusnya melahirkan lebih ramai pelumba-pelumba muda bertaraf dunia selaras dengan agenda pembangunan negara dan objektif pelaksanaan program-program pembangunan sukan permotoran bersama pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Kejohanan akar umbi ini akan dikendalikan oleh ZK Racing dan akan ditaja oleh pihak SIC dimana pusingan pertama FIM MiniGP Malaysia Series akan dijadualkan pada pertengahan bulan Ogos dengan 4 pusingan dan 8 perlumbaan. Namun ianya bergantung kepada kelulusan oleh KBS, pihak penguatkuasa dan situasi semasa pandemik COVID-19. 

FIM, Dorna Sports S.L (Dorna), penganjur MotoGP™ dan Ohvale, sebuah syarikat pengeluar motosikal dari Itali telah mengumumkan penganjuran FIM MiniGP World Series semasa perlumbaan MotoGP™ di Barcelona pada 5 Jun 2021 yang lalu dan mengesahkan penyertaan 12 negara termasuk Malaysia.

Pelumba-pelumba FIM MiniGP Malaysia Series yang berumur 11 – 14 tahun akan bersaing dalam kategori 160cc mengikut garis panduan dan format yang ditetapkan oleh FIM. SIC Ohvale Junior Championship (yang dahulunya dikenali sebagai SIC MiniGP Championship) akan menjadi perlumbaan sokongan bagi kategori 110cc dan terdiri daripada pelumba-pelumba berumur 8 – 10 tahun. Sesi pemilihan telah dijalankan pada 29 - 30 Mac 2021 yang lalu dengan penyertaan seramai 40 peserta. Setiap peserta perlu melalui pelbagai ujian antaranya pengendalian jentera, ketahanan mental dan fizikal dan telah dinilai dari segi teknik, fokus dan kemahiran.

“MAM berterima kasih dengan inisiatif FIM selaku badan induk sukan permotoran dua roda dunia. MAM percaya FIM MiniGP Malaysia Series merupakan satu platfom kesinambungan atau laluan program pembangunan bakat ke Asia Talent Cup, CEV Spanish Championship dan seterusnya MotoGP™. MAM juga berterima kasih kepada Dato’ Razlan Razali yang menjadi penggerak utama kewujudan program ini kepada Dorna dan FIM untuk pembangunan bakat muda dan membuka peluang untuk beraksi di kejohanan MotoGP™ bersama pasukan PETRONAS Sepang Racing suatu hari nanti. MAM ingin memberi penghargaan kepada pihak KBS yang tidak putus-putus membantu sukan permotoran dan berharap dengan kerjasama SIC serta ZK Racing dapat mencapai matlamat kejohanan ini,” kata Muizz Azli selaku Setiausaha Agung MAM.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, “Saya teruja untuk melihat pelumba-pelumba cilik kembali beraksi di kejohanan yang akan datang. Dengan penambahbaikan dan format terbaru ini, kami ingin menunjukkan program akar umbi ini boleh pergi lebih jauh ke peringkat antarabangsa. Keberkesanan program seperti ini terbukti dengan pencapaian pelumba-pelumba pelapis kita di ATC dan CEV pada musim ini. Saya yakin, dengan kerjasama dan sokongan padu dari semua pihak, Insya-Allah, lebih ramai pelumba Malaysia akan beraksi di pentas antarabangsa. Pada masa yang sama, saya percaya setiap pihak akan mematuhi SOP yang ditetapkan demi menjaga keselamatan dan kesejahteraan semua.”

“Selama bertahun-tahun, kami telah membina asas yang kuat untuk perkembangan motosikal di peringkat antarabangsa, dengan penetapan akses yang mudah dan peraturan yang jelas dalam sukan permotoran. Berkat sokongan FIM dan Dorna, kami adalah sebahagian daripada FIM MiniGP World Series, program pembangunan pertama ke MotoGP™ dan penyertaan Malaysia dalam projek ini. Kami sangat bersyukur dan gembira dengan sinergi antara Ohvale, MAM, SIC dan ZK Racing dalam usaha mencari juara MotoGP™ dari negara Malaysia pada masa yang akan datang.” kata Valerio Da Lio, Ketua Pegawai Eksekutif Ohvale.

"Saya berasa amat teruja untuk memulakan musim 2021, kerana kami telah berjaya membawa SIC MiniGP ke peringkat yang lebih tinggi dan berharap untuk melahirkan pelumba bertaraf antarabangsa daripada kejohanan ini. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk berterima kasih kepada pihak SIC, MAM dan FIM kerana sudi menganjurkan program seperti kejohanan MiniGP, bahkan dengan adanya program seperti ini, saya percaya dan yakin kita akan dapat melahirkan pelumba yang hebat di masa hadapan,” diakhiri dengan Pengurus Pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin.

 

Comments

Follow Us