Pengulas MotoGP, Simon Crafar Tidak Setuju Dengan Dato Razlan


Ramai yang terkejut sebelum ini buat pelumba muda dari Afrika Selatan, Darryn Binder yang datang daripada kelas Moto3 terus ke MotoGP. Beliau kini bersaing di kelas utama MotoGP tanpa melalui kategori Moto2 terlebih dahulu seperti kebanyakan pelumba yang lain. Pun begitu beliau tidak keseorangan melalui hal sedemikian kerana sebelum ini Jack Miller pernah mengalami situasi yang sama.

Peluang tersebut diberikan oleh peneraju Pasukan RNF sendiri iaitu Dato Razlan. Darryn ketika di Moto3 ialah pelumba pasukan PSRT dan kemudian selepas Petronas menghentikan tajaan, Dato mengambil langkah untuk menubuhkan pasukan di kelas perdana dan meninggalkan kategori Moto2 dan Moto3. Oleh sebab itu, Dato turut membawa Darryn bersama dan percaya bahawa pelumbanya itu akan mampu bersaing dengan pelumba-pelumba lain.

Bagi Darryn pula, tawaran tersebut ibarat satu mimpi yang langsung tidak disangka dan beliau menyifatkan ia 'bodoh' jika menolaknya. Sememangnya impian semua pelumba di kategori Moto3 untuk tampil di kelas perdana satu masa nanti dan rezekinya datang lebih awal daripada yang dijangkakan.

Walaubagaimanapun, wartawan MotoGP yang juga bekas pelumba, Simon Crafar mempunyai pandangan yang berbeza. Beliau sama sekali tidak bersetuju dengan tindakan yang dibuat oleh Dato Razlan dalam membawa terus Darryn ke kategori teratas. 

Menurut Simon, saingan sekarang di MotoGP amat berbeza jika dibandingkan dengan zaman Jack dahulu. Kini perlawanan dilihat amat sengit dan ketat maka setiap pelumba haruslah mempunyai persediaan yang secukupnya sebelum berada di garaj MotoGP.

Jika dilihat, kategori Moto2 telah diubah peraturan teknikelnya pada Tahun 2019 iaitu semua jentera menggunakan enjin yang berkapasiti 765cc dan bukan lagi 600cc. Ini bagi merapatkan lagi jurang antara Moto2 dan MotoGP. Ia dilihat satu keperluan memandangkan jentera-jentera yang bersaing di kelas perdana mengalami kemajuan saban tahun. Oleh sebab itu para pelumba diberikan ruang terlebih dahulu untuk membiasakan diri dalam mengendalikan jentera berkapasiti besar sebelum menawan 'the beasts'.

Situasi Darryn kali ini dibimbangi akan menjadi 'mangsa' keadaan seperti mana yang dialami oleh Iker Lecuona. Ini kerana budaya MotoGP kini tidak lagi memberi waktu yang panjang untuk para pelumba menyesuaikan diri.  Itu antara cabaran terbesar buat pelumba-pelumba untuk memastikan karier mereka kekal bagi satu tempoh yang agak lama.

Teruskan bersama Two Wheels...!

#TwoWheels #TWmedia #TW #MGPM 🇲🇾 #simoncrafar #DRR #DB40 #RNF #MotoGP

Comments

Follow Us