Tahukah Anda Maksud Setiap Warna Bendera di MotoGP

Kali ni kita akan belajar, apakah maksud warna setiap bendera dalam Kejuaraan MotoGP.

Mesti kalian pernah lihat bendera-bendera ini dikibarkan dalam siaran langsung. Namun mungkin ada yang tak tahu atau tidak pasti apakah maksud disebalik warna bendera itu.

Ada 2 jenis kategori bendera dalam perlumbaan iaitu Informasi dan Arahan

1) Informasi

- Kategori pertama dimana ianya dikibarkan untuk memberitahu pelumba situasi semasa/terkini dalam perlumbaan atau sebarang isu yang berlaku ketika berlumba. 

Bendera Hijau

Makluman kepada pelumba, litar bebas dari gangguan dan boleh mula berlumba. Dikibar di pos marshal litar sewaktu sesi latihan, sesi ‘warm-up’ dan ‘sighting’ serta memulakan perjalanan keluar dari pit.

Bendera Putih+Tanda Pangkah berwarna Merah dan Bendera Belang Merah Kuning.

Makluman bahawa terdapat air atau laluan air pada permukaan litar dan hanya dikibarkan di pos marshal tertentu. Kedua-dua bendera ini dikibarkan bersama-sama.

Bendera Biru

Makluman kepada pelumba dimana dia akan dipintas oleh pelumba lain. Kebiasaannya dikibarkan ketika ada pelumba ingin masuk ke pit ataupun keluar dari pit, ada pelumba lain sedang laju dan pelumba yang hampiri overlap.

Bendera ‘Chequered’

Dikibarkan di garisan penamat untuk pemenang dan semua pelumba yang menghabiskan saingan.

2) Arahan

Bendera kategori ini dikibarkan untuk memberi amaran kepada mana-mana pelumba yang melanggar peraturan. Sekiranya tidak diambil endah, maka penalti akan dikenakan ke atas pelumba. Antaranya:

- Amaran

- Denda

- Laluan terus di pit

- Pertukaran grid mula

- Penalti Masa

- Kelayakan Terbatal

- Penolakan mata kejohanan

- Penggantungan

- Atau denda/penalti yang lebih teruk

Terdapat 5 bendera utama dalam kategori ini.

Bendera Kuning

Ada beberapa maksud sekiranya bendera ini dikibarkan.

1. Sekiranya banyak marshal mengibarkan bendera tersebut, bermaksud perlumbaan telah ditunda.

2. Sekiranya bendera dikibar pada baris pelumba di grid permulaan, bermakna ada pelumba dalam barisan berkenaan mengalami masalah. Pelumba akan kembali ke pit dan akan bermula di pit 5 saat lambat dari pelumba terakhir.

3. Ketika perlumbaan berlangsung, jika 1 pos marshal mengibarkan bendera bermaksud ada bahaya di hadapan.

4. Sekiranya 2 bendera kuning dikibarkan masa yang sama pada satu pos marshal, bermaksud terdapat bahaya di hadapan dan mungkin ada cebisan dari kemalangan di atas litar. Pelumba harus memperlahankan jentera dan bersedia untuk berhenti.

Sebarang aksi memotong dilarang sehingga bendera Hijau dikibarkan yang menyatakan keadaan selamat di atas litar.

Sekiranya ada pelumba gagal mematuhi arahan bendera kuning, maka posisi terkini pelumba terbabit akan ditolak 1 posisi.

Namun, sekiranya pelumba tersebut secara tidak sengaja memotong dan mengangkat tangan tanda faham atas situasi itu, maka tiada sebarang penalti dikenakan. Manakala, jika berlaku kejadian itu pada sesi latihan atau kelayakan, maka pusingan yang dilakukan oleh pelumba tersebut terbatal.

Bendera Merah

Apabila bendera ini dikibarkan, ia menunjukkan bahawa perlumbaan tersebut terganggu dan pelumba mesti kembali ke pit dengan segera. Lampu merah di pit pula akan dinyalakan bertujuan melarang mana-mana pelumba untuk masuk ke litar.

Sekiranya bendera ini dikibarkan selepas ¾ perlumbaan dan mungkin tidak disambung lagi, maka pegawai perlumbaan bakal mengumumkan kemenangan pada posisi terkini apabila saingan diberhentikan dan mata kemenangan diberikan mengikut posisi masing-masing.

Apabila keadaan ini tidak berlaku walaupun bendera merah dikibarkan, maka ada 2 pilihan ‘race steward’ akan membuat keputusan.

Yang pertama, samada perlumbaan dimulakan kembali atau yang kedua, saingan dihentikan namun hanya sebahagian mata dianugerahkan kepada pelumba pada posisi terkini. Ini berlaku sekiranya terdapat kemalangan maut dan perlumbaan hanya baru masuk beberapa pusingan dan ia dinilai dari situasi ke situasi tertentu.

Bendera Putih

DIkibarkan untuk makluman kepada setiap pelumba untuk kembali ke pit masing-masing dengan tujuan menukar jentera setelah arah-lumba ditukar kepada perlumbaan litar basah. Kebiasaanya dikibar sebaik hujan turun dan air mula membasahi litar. Tiada sebarang penalti dikenakan kepada mana-mana pelumba sekiranya mereka tidak mahu menukar jentera. Keputusan menukar jentera juga diserahkan kepada pasukan dan pelumba itu sendiri.


Bendera Hitam atau Hitam bersama bulatan Oren

Jika terdapat mana-mana pelumba yang mengalami kemalangan atau kerosakan, bendera ini akan dikibarkan kepada pelumba terbabit sekiranya mereka didapati tidak ‘fit’ untuk meneruskan perlumbaan.

Ini bermaksud pelumba akan mendapat status ‘DNF’ (Did Not Finish). Ada penalti yang dikenakan seandainya gagal mematuhi amaran itu. Sebagai contoh, Marc Marquez pada 2013, dia dikibarkan bendera untuk menjaga keselamatannya kerana kondisi tayar beliau tapi dia bertegas bahawa jentera dan tayarnya mampu melalui 10 pusingan lagi. Akibat kegagalan itu, kelayakan beliau dibatalkan serta merta.

Apabila bendera hitam bersama bulatan oren dikibarkan, ini menunjukkan bahawa jentera pelumba terbabit mengalami masalah teknikal dan mesti keluar dari trek dengan kadar segera. Samada kembali ke pit atau berhenti sahaja di tepi litar jika keadaan selamat.

Bermula dari 2020, setiap kali pelumba ingin kembali meneruskan perlumbaan selepas dikibarkan bendera hitam/hitam-oren, jentera mereka wajib diperiksa oleh pegawai teknikal FIM sebelum dibenarkan masuk ke litar semula.


Bendera Hitam

Bendera ini akan ditunjukkan bersama-sama nombor pelumba yang terlibat. Ini bermakna pelumba tersebut disingkirkan daripada perlumbaan dan dia mestilah segera kembali ke paddock serta merta. 

Pening juga nak hafal tapi itulah cabaran yang senantiasa perlu dibelajar oleh mana-mana pelumba dan wajib dipatuhi walaupun oleh seorang pelumba tersohor.

Keep on sharing guys! Teruskan bersama Two Wheels..!

📸Box Repsol

#TW #TwoWheels #TWmedia #TWinfo #MotoGP #Flags #InformationFlag #WarningFlag 

Comments

Follow Us