Top 10 Jadi Sasaran Hafizh di WSBK

Musim ini, Malaysia akan diwakili oleh bekas pelumba MotoGP iaitu Hafizh Syahrin dalam Kejohanan Dunia Superbike MOTUL FIM buat kali pertama sejak 1990-an. 

Hafizh Syahrin akan menyertai Pasukan Honda MIE Racing untuk musim 2022.  Menjelang musim barunya di WorldSBK, beliau menyatakan matlamatnya untuk musim ini.  

Pelumba berusia 27 tahun itu berpindah ke WorldSBK selepas bersaing di MotoGP sejak 2011. Dari segi pengalamannya di kejuaraan dunia, Hafizh sangat berpengalaman di kelas Moto2 dan kelas perdana MotoGP pada 2018 dan 2019. 

Dengan berbekalkan pengalaman selama 10 tahun di MotoGP, Hafizh membawa pengalamannya itu kepada Pasukan MIE Racing Honda untuk musim ini. Pasukan ini menurunkan dua jentera untuk musim 2022 dimana sebelum ini mereka hanya mempertaruhkan satu jentera sahaja iaitu bersama pelumba Argentina, Leandro Mercado.

“Pertama sekali, saya masih belum mencuba jentera itu, tetapi saya percaya bermula daripada pertengahan musim yang lalu saya lihat jentera itu semakin baik,” kata Hafizh.

“Saya mahu menamatkan saingan dalam kelompok 10 teratas bagi setiap perlumbaan dan cuba memberi cabaran kepada pelumba lain.” Tambahnya lagi. 

Umum mengetahui Hafizh juga mengenali beberapa pesaing dari beberapa tahun kebelakang ini, seperti Locatelli, Alvaro Bautista dan beberapa yang lain yang berlumba di MotoGP dan kemudian berpindah ke WorldSBK.  

Hafizh juga mengatakan bahawa ingin belajar daripada Toprak terutamanya kerana dia masih muda selain seorang pelumba legenda di WorldSBK iaitu Jonathan Rea.  

Walaupun ianya satu cabaran besar untuk Hafizh, beliau akan cuba memberikan segala-galanya dengan berbekalkan pengalamannya dari MotoGP.

Hafizh Syahrin akan membuat penampilan pertamanya di litar MotorLand Aragon untuk pusingan pembukaan musim ini bersama jentera CBR1000RR-R.  

Beliau juga akan menjadi rakyat Malaysia pertama yang mengambil bahagian dalam mana-mana perlumbaan WorldSBK sejak C. Adi Haslam pada 1993 di Litar Johor, Malaysia. Hafizh sangat teruja untuk memulakan musim ini dan tiada tekanan namun merasakan perasaan yang sama sewaktu beliau menjadi wakil tunggal untuk MotoGP dahulu. 

Selain itu Hafizh mengatakan bahawa pasukkannya kini giat mempersiapkan jenteranya dan ini adalah pengalaman pertama pasukan tersebut menyediakan jentera lebih daripada satu. Ini juga  antara penyebab mengapa dirinya belum melakukan ujian keatas jentera tersebut. 

Semoga berjaya daddy Hafizh! Teruskan Bersama Two Wheels!

Comments

Follow Us