Aleix angkat nama Aprilia.


Kejayaan yang ditunggu-tunggu oleh satu pasukan 'under dog' setelah sekian lama berhempas pulas bekerja untuk menunjukkan keberadaan mereka di arena MotoGP.

Aprilia kini secara rasminya telah berjaya mendapat kemenangan pertama di pentas MotoGP melalui pelumba mereka, Aleix Espargaro. Semangat juang pasukan yang diketuai oleh Massimo ini sungguh kuat dan langsung tidak mengalah. 

Dalam penampilan di tahun pertama dahulu, mereka dilihat langsung ketinggalan. Sejak Tahun 2015, mereka telah mendapat khidmat daripada Bautista, Melandri, Laverty dan Bradl namun keputusan yang baik tidak kunjung tiba. Paling tinggi mereka menamatkan perlumbaan di posisi ke 10 sebanyak 3 kali. Kemudian pada Tahun 2017, mereka mula bekerjasama dengan Aleix Espargaro.

Dari situ, Aprilia sungguh kagum dengan ketabahan dan kesabaran Aleix. Di kala bekas pelumba-pelumba mereka mengkritik kemampuan RS-GP, Aleix tetap tenang dan menyumbang kepada pembangunan jentera.

Keputusan terbaik Aprilia adalah pada Tahun 2017 iaitu tamat di kedudukan ke 6. Sejak itu Aleix percaya bahawa Aprilia akan mampu bersaing dengan pengeluar-pengeluar lain dan beliau terus fokus kepada matlamat pasukan iaitu memenangi perlumbaan.

Walaubagaimanapun kemenangan pertama tersebut dicapai bukan dalam tempoh waktu yang singkat. Aleix mengambil masa 6 tahun manakala Aprilia pula 8 tahun. Sungguh kini Aleix telah mengangkat nama Aprilia dan juga RS-GP. Seperti yang diucapkan oleh Massimo pada tahun lepas, "Sekarang ramai yang tolak tawaran kami tetapi satu hari nanti ramai pelumba yang akan datang kepada kami." 

Jutaan tahniah kepada Aprilia atas daya usaha dan semangat tidak mengalah. Dalam masa sama, mereka telah mengajar kita bahawa kekal fokus dan kuat bekerja akan mendatangkan keputusan yang diingini.


Comments

Follow Us