Tabik Nazi di Podium Juara




Pelumba muda kelahiran Rusia telah membuat permohonan maaf atas segala perbuatan ‘bodoh’ beliau selepas melakukan tabik nazi ketika berada di atas podium pada upacara penyampaian hadiah. Beliau menjuarai perlumbaan pusingan pertama karting Kejuaraan Eropah di Portugal hujung minggu lalu.

Ketika berada di atas podium juara, beliau dilihat menepuk dada dan telah mengangkat tangan kanannya lurus ke hadapan seperti lagak seorang askar Nazi memberi tabik hormat ketika lagu kebangsaan Itali sedang berkumandang. 

Artem Severiukhin kemudian dilihat ketawa selepas melakukan perbuatan tersebut. Mesti ramai tertanya-tanya mengapa beliau dibenarkan bertanding kan? Sebagai tindak balas pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, badan sukan permotoran dunia FIA masih membenarkan pelumba-pelumba Rusia bertanding di dalam mana-mana acara  dengan syarat bendera Rusia tidak boleh dipamerkan serta lagu kebangsaan tidak boleh dimainkan.

Akibatnya, Severiukhim berlumba di bawah bendera Itali dalam perlumbaan pada Ahad. Susulan insiden itu, beliau telah disingkirkan daripada pasukan Ward Racing sementara FIA telah membuka kertas siasatan atas insiden tersebut.

Pada Isnin, Severiukhin telah memuat naik mesej video di saluran Telegram rasmi Federasi Automobil Rusia yang berbunyi, “saya ingin membuat permohonan maaf atas apa yang berlaku di Kejohanan Eropah semalam. Saya tahu itu salah saya, saya bodoh dan saya bersedia dihukum. Tapi tolong faham yang saya tidak pernah menyokong Nazi dan perbuatan tabik itu hanyalah sekadar jenaka.”

Orang tua-tua pernah berpesan. Terlajak perahu boleh diundur, terlajar kata buruk padahnya.


Comments

Follow Us