Bayangan Grid MotoGP Musim 2023


Dengan beberapa pelumba yang telah menyambung kontrak setakat ini serta ketiadaan pasukan Suzuki Ecstar di grid musim depan, berikut merupakan kebarangkalian susunan grid MotoGP 2023.

Pasukan Utama :

Pasukan Lenovo Ducati:

#63 Francesco Bagnaia - Dengan kontrak yang ditandatangani semenjak 2019, Pecco bakal kekal di Ducati sehingga 2024.

#23 Enea Bastianini - Beast menunjukkan prestasi yang sangat cemerlang padan musim ini dan kemungkinan besar beliau akan menggantikan kekosongan tempat yang ditinggalkan oleh Jack Miller.


Monster Energy Yamaha :

#20 Fabio Quartararo - Selaku ayam tambatan Yamaha setelah beraksi dengan cemerlang, kontrak Fabio disambung sehingga 2024.

#21 Franco Morbidelli - Kontrak Morbi sebelum ini adalah sehingga penghujung musim depan namun dengan prestasi beliau yang merudum, masa depan beliau di grid MotoGP tidak dapat dipastikan.


Repsol Honda :

#93 Marc Marquez - Walaupun berdepan dengan kecederaan lampau yang memaksa beliau berehat beberapa kali namun tempoh kontrak beliau adalah sehingga 2024.

#36 Joan Mir - Juara MotoGP musim 2020 ini terpaksa mencari peluang baru setelah Pasukan Suzuki menarik diri dari MotoGP dan besar kemungkinan beliau akan menggantikan tempat Pol Espargaro.


Red Bull KTM Factory :

#33 Brad Binder - Beliau akan mengekalkan kedudukan didalam Pasukan KTM sehingga tamat kontrak pada 2024.

#43 Jack Miller - Miller telah menempah tempat di KTM sehingga musim 2024 apabila telah menandatangani kontrak 2 tahun menggantikan Miguel Oliveira.


Aprilia Racing :

Dengan prestasi pasukan yang semakin baik, pasukan telah menyambung kontrak #41 Aleix Espargaro dan #12 Maverick Vinales sehingga penghujung musim 2024.


Pasukan Satelit:

Pramac Racing:

Kontrak kedua-dua pelumba mereka (#5 Johann Zarco dan #89 Jorge Martin) bakal tamat pada penghujung musim ini namun Pramac sedang dalam perbincangan untuk mengekalkan kedua-dua mereka bagi saingan musim hadapan. Setakat ini hanya Martin yang menyuarakan pendapat bahawa beliau tidak akan kekal di Pramac jika tidak mendapat tempat di pasukan kilang Ducati.


Gresini Racing MotoGP:

#49 Fabio Di Giannantonio - Walaupun kurang menyengat pada musim ini namun beliau menunjukkan peningkatan dan Gresini berharap untuk mengekalkan beliau pada musim hadapan.

#88 Miguel Oliveira - Ditinggalkan sepi oleh KTM setelah beraksi cemerlang, Oliveira hampir pasti menandatangani kontrak bersama Gresini.


Mooney VR46 Racing :

Pasukan ini bakal menyambung perkhidmatan #10 Luca Marini dan #72 Marco Bezzecchi sekurang-kurangnya satu musim lagi.


LCR Honda:

#79 Ai Ogura - Dengan prestasi yang cemerlang setakat ini, besar kemungkinan beliau akan dipilih untuk menggantikan tempat Nakagami yang bakal tamat kontrak pada penghujung musim ini.

#42 Alex Rins - Walaupun tiada desas desus perpindahan Rins kedalam LCR namun beliau merupakan pilihan yang tepat untuk membangunkan Honda bersama Mir. Pilihan lain adalah #87 Remy Gardner dan #35 Somkiat Chantra.


Aprilia With-U RNF MotoGP:

#25 Raul Fernandez - Beliau merupakan naib juara Moto2 musim lalu namun prestasi beliau di KTM Tech 3 amat buruk namun bersar kemungkinan beliau akan dipilih untuk bersama pasukan baru satelit Aprilia.

#13 Celestino Vietti - Walaupun pilihan sebelum ini adalah Rins namun besar kemungkinan Vietti bakal terpilih bersama pasukan ini musim hadapan berdasarkan negara asal beliau serta hubungan beliau bersama Valentino Rossi.


Tech 3 KTM Factory Racing:

#44 Pol Espargaro - Pengalaman beliau bersama KTM bakal digunakan semula setelah Tech 3 merudum musim ini.

#51 Pedro Acosta - Bakat baru yang meningkat naik semenjak Moto3 ini disebut untuk mengisi kekosongan tempat bersama Pol, gabungan pelumba baru dan lama. Pilihan lain Tech 3 adalah #Augusto Fernandez.

Senarai ini pendapat peribadi kami mengenai susunan grid bagi musim hadapan dan ianya mungkin tidak tepat 100% namun boleh dijadikan sebagai topik perbincangan.

Teruskan bersama Two Wheels..!

Comments

Follow Us