Pusat Pengalaman Pemanduan (Driving Experience Centre) Pertama Di Asia Tenggara

 

Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Yang Berhormat Dato’ Seri Ahmad Faizal bin Dato’ Azumu telah menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Driving Experience Centre (DEC) yang berlangsung di Litar Kart Antarabangsa Sepang (SIKC).

Majlis ini turut dihadiri oleh YB Senator Dato’ Sri Ti Lian Ker, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Tan Sri Mokhzani Mahathir, Presiden Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM), Tan Sri Azman Yahya, Pengerusi Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan Azhan Shafriman Hanif, Ketua Pegawai Eksekutif SIC.


Projek DEC merupakan salah satu komponen kepada Pelan Strategik Perniagaan unjuran 5 tahun SIC yang telah diluluskan oleh Lembaga Pengarah SIC pada tahun 2014. Geran projek DEC ini telah diperuntukkan oleh pihak kerajaan Malaysia melalui bajet Rancangan Malaysia ke-12. Akhirnya, kerja pembinaan projek ini dapat dimulakan pada bulan ini.

Fasiliti ini akan dibangunkan di atas tanah berkeluasan 28 hektar dan dijadikan sebagai langkah seterusnya untuk pembelajaran berterusan pemandu-pemandu di Malaysia agar lebih mahir mengendalikan kenderaan dengan penyediaan fasiliti dan rintangan seperti Handling Circuit 1.5KM, Skid Circle, Hydraulic Skid Plate dan Dynamic Staging Area yang pastinya dapat menguji kecekapan pemandu dan kebolehan kenderaan mereka.


Sejajar dengan aspirasi untuk menjadi hub sukan permotoran dan didik libur terkemuka di Malaysia dan Asia Tenggara, SIC terus mengorak langkah bukan sahaja dalam industri sukan permotoran malah dalam sektor automotif dengan adanya pembangunan DEC ini. Antara produk yang ditawarkan adalah Prestasi Pengalaman Pemanduan, Kursus Pemanduan Keselamatan dan Penyewaan Fasiliti.


Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata,” Saya amat teruja untuk memaklumkan bahawa projek DEC ini adalah merupakan kemudahan fasiliti pengalaman pemanduan yang pertama di Asia Tenggara. Litar utama kami fokus kepada acara perlumbaan manakala litar DEC lebih tertumpu kepada sudut kemahiran dan keselamatan pemanduan. Saya ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada pihak-pihak yang terlibat seperti Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Kewangan Malaysia (MOF), Majlis Perbandaran Sepang (MP Sepang), Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan semua pihak berkuasa dan agensi kerajaan yang telah menyumbang ke arah pelaksanaan projek pembinaan.”

Comments

Follow Us