3 pelumba negara beraksi di pentas dunia.


Tahun 2023 kini merupakan tahun yang agak baik buat sukan permotoran negara. Ini kerana bukan satu tetapi tiga pelumba negara kita yang akan beraksi di pentas dunia dalam arena perlumbaan motorsikal. Walau apapun kategori namun jika ia bertaraf dunia maka kehebatan yang dimiliki oleh anak-anak Malaysia tidak boleh disangkal lagi.

Yang pertama ialah Hafiz Syahrin. Antara ketiga pelumba ini Hafiz ialah individu yang paling berpengalaman di tahap dunia. Dalam tak sedar, tahun ini ialah tahun ke-13 Hafiz bersaing di perlumbaan dunia. Sebanyak 3 kategori setakat ini beliau telah harungi iaitu Moto2, MotoGP dan WSBK. Sudah tentu yang paling manis ialah ketika bersama Pasukan Tech3 Yamaha memacu jentera M1 dan bersaing merebut gelaran rookie of the year dengan anak didik Valentino Rossi iaitu Franco Morbidelli.

Pelumba kedua pula ialah Adam Norroddin yang telah disahkan akan mengikuti kejohanan supersport dunia memacu jentera Honda CBR600RR. Ini merupakan tahun pertamanya bersaing dalam kategori ini dan sekaligus beliau ialah seorang rookie. Walaupun begitu, pengalaman Adam berlumba dengan jentera 600cc boleh dikatakan telah luas kerana beliau selama beberapa tahun telah beraksi di kejohanan CEV Moto2. Selain itu, Adam juga pernah beraksi di pentas dunia sebelum ini iaitu pada Tahun 2016 hingga 2018 di kejohanan Moto3. Adam telah pun memacu jentera Honda 250  dan pencapaian terbaiknya ialah ketika bersama Pasukan SIC Racing pada Tahun 2017 di mana beliau yang mengenakan nombor 7, menamatkan saingan di kedudukan ke-17 keseluruhan selepas mengharungi sebanyak 17 perlumbaan.

Seterusnya ialah permata baharu negara, Syarifuddin Azman atau lebih popular dengan panggilan Damok. Tahun ini merupakan tahun pertamanya mengikuti saingan di pentas dunia secara penuh. Beliau sebelum ini pernah tampil beberapa kali di saingan Moto3 sebagai pelumba wild card atau pun gantian dan itu bermakna Damok telah pun mempunyai pengalaman. Walaubagaimanapun saingan penuh tentunya tidak sama dengan penampilan wild card kerana di saingan penuh beliau perlu memastikan dirinya berjaya mengutip sebanyak mungkin mata untuk membuktikan bahawa dirinya memang berprestasi tinggi. Tambahan tahun ini beliau ialah seorang rookie di kategori Moto3 ini dan paling tidak beliau hendaklah bersaing hebat untuk merebut gelaran rookie of the year supaya kariernya dapat kekal untuk tempoh yang panjang.

Comments

Follow Us