Pedrosa kenal Marc, Ducati tak perlu bimbang.


Bakat sememangnya diperlukan dalam apa-apa bidang dan begitu juga sukan permotoran namun ia bukan tunjang kepada pembangunan karier seseorang. Otak yang cerdas dan pola berfikir yang unik juga diperlukan supaya seseorang itu mampu tampil lebih cemerlang daripada yang lain.

Juara dunia MotoGP 8 kali, Marc Marquez dilihat langsung tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri dalam situasi baharu. Bermula di Moto3 kemudian ke Moto2, kehadirannya telah menarik perhatian ramai dek kerana persembahannya yang agak luar biasa. Apa yang paling ajaib, di perlumbaan pertama sebagai rookie dalam kelas tertinggi MotoGP, beliau telah berjaya menaiki podium selepas bersaing hebat melawan The Doctor bagi merebut tempat kedua di Losail Qatar. Seterusnya beliau merangkul gelaran juara dunia buat pertama kali di kelas perdana itu.

Rakan sepasukannya yang sangat berpengalaman, Dani Pedrosa turut kagum dengan kebolehan juniornya itu. Apa yang dilihat Pedrosa, Marc amat cepat serasi apabila melalui fasa perubahan. Yang paling diingati Pedrosa adalah ketika MotoGP mula menukar pengeluar tayar daripada Bridgestone kepada Michelin. 

Menurut Dani hampir semua pelumba temasuk senior mengalami kesukaran dalam mendapatkan rentak yang baik namun Marc langsung tidak mengambil masa yang lama. Rahsia akan kebolehan Marc tersebut ialah beliau sangat teliti dalam perbezaan yang dialami lalu mengubah gaya tunggangannya. Ia bukan sesuatu yang mudah kerana kebiasaan para pelumba lebih terarah untuk mengubah jentera supaya secocok dengan karakter mereka.

Tambahan Pedrosa lagi, atas desas desus pihak Ducati yang dikatakan sentiasa memerhati Marc, beliau memberi pesan supaya jangan khuatir akan kebolehan Marc. Pedrosa amat yakin yang Marc mampu memacu jentera Ducati dengan amat baik apabila diberi peluang.

Comments

Follow Us