Mir mula mengenali Marc..


Juara dunia MotoGP Tahun 2020, Joan Mir buat pertama kalinya berada dalam pasukan baharu dan memacu jentera selain Suzuki. Buat pengetahuan semua, Mir selama ini hanya bersama dengan Suzuki dan tahun ini beliau berhijrah ke Honda dek kerana Suzuki keluar daripada saingan MotoGP.

Persekitaran baru tambahan karakter jentera yang jauh berbeza daripada kebiasaan merupakan antara cabaran getir yang perlu dihadapi oleh Mir. Pada masa sama beliau dikatakan beruntung kerana berada dalam satu pasukan dengan juara dunia 8 kali, Marc Marquez. Ini kerana bantuan Marc pasti akan memberi kesan positif terhadap kemajuan Mir untuk musim ini dan akan datang.
Ketika sesi ujian di Valencia hujung tahun lalu, Mir memacu RC213V buat pertama kali dan mengenakan jentera yang sedia ada tanpa dilengkapi peranti-peranti baharu seperti mana Marc. Pun begitu menurut Mir, beliau dapat melihat dengan lebih dekat cara rakan sepasukannya itu bekerja. 

Semua ketahui bahawa Marc seorang pelumba yang laju walaupun dengan keadaan jentera yang agak lemah. Apa yang diperhatikan oleh Mir, antara rahsia terbesar Marc ialah kemampuannya untuk menunggang jentera seperti mana yang dikehendaki oleh mesin itu. Marc sangat cepat mengubah gayanya supaya ia secocok dengan karakter RC213V dan seterusnya dapat mencapai tahap maksimum kemampuan jentera. Untuk mengetahui 'limit' jentera perlukan masa namun berbekalkan pengalaman yang luas maka ia kelihatan mudah di tangan Marc.

Comments

Follow Us