Pasukan pengilang berpuas hati akhiri hari ujian Shakedown dalam keadaan litar kering

📷 MotoGP

Hari terakhir yang sibuk di Sepang kerana para pasukan mengambil kesempatan yang ada sewaktu litar dalam keadaan kering pada hari ini.

Ujian Sepang Shakedown telah sampai ke penghujungnya dan kebanyakan pasukan kilang serta pelumba amat gembira dengan ujian tersebut. Aksi pada hari terakhir disambut dengan keadaan cuaca kering dan ini bermakna banyak kerja telah disiapkan sebelum Ujian Rasmi Sepang Jumaat ini. Michele Pirro dari Pasukan Ducati Lenovo yang mencatatkan masa terpantas.

DUCATI

Pelumba ujian Ducati, Michele Pirro satu-satunya pelumba yang mencatatkan masa di bawah 2 minit iaitu 1:59.803. Beliau juga kembali melakukan tugasnya dengan mencuba pakej aero fairing yang dikemas kini untuk musim 2023. Perkara terbesar yang perlu diperhatikan di sini ialah mereka telah mengemas kini fairing bahagian bawah daripada Ujian Valencia. Kali ini reka bentuk mereka jauh lebih besar dan mempunyai lebih banyak butiran aerodinamik. Pod sisi dan set sayap utama adalah sama seperti yang kita lihat pada Ujian Valencia.


YAMAHA

Setelah menguji M1 bersendirian pada hari Ahad dan Isnin, Cal Crutchlow telah disertai oleh rakan pelumba ujian kilang, Katsuyuki Nakasuga pada hari terakhir Shakedown. Kedua-dua pelumba Inggeris dan Jepun itu meletakkan fairing hadapan baharu Yamaha yang diubah suai daripada apa yang kita lihat pada Ujian Valencia lalu. Selain itu, turut mencuba iaitu mudguard terbaharu, seperti yang dilihat dalam gambar di bawah.


Selain itu, Juara Dunia 2021, Fabio Quartararo (Monster Energy Yamaha MotoGP) turut hadir dan berada di tepi landasan memerhati dengan teliti apa yang sedang diuji oleh Crutchlow dan Nakasuga. Pelumba Perancis itu juga memerhati 'Speed trap' yang disiarkan. 

Pada beberapa ketika, paparan di bilik media memaparkan Crutchlow mencatatkan 335 km/j iaitu lima km/j lebih daripada yang dilakukan oleh Quartararo pada Grand Prix tahun lepas dan 8km/j lebih daripada yang dicatatkan oleh Yamaha dalam Ujian Sepang 2022. Nampaknya tanda-tanda positif mereka telah kelihatan dan langkah ini penting untuk meneruskan pembangunan enjin 2023.


KTM

Di kem KTM, Dani Pedrosa menghabiskan banyak masa untuk menguji pakej aero fairing baharu KTM. Seperti yang anda boleh lihat di bawah, bentuk fairing hadapan telah berubah sedikit. Gerigi 'gigi jerung' di tepi sudah tiada lagi, manakala set atas sayap telah dikemas kini sedikit, tetapi reka bentuk sebahagian besarnya kekal sama. Selain itu, sayap pod sisi juga telah dibaikpulih. Walau bagaimanapun, perubahan terbesar yang dapat kita lihat ialah fairing di bahagian tengah telah membesar seperti Aprilia.


Bakal Rookie of the year, Augusto Fernandez (GASGAS Factory Racing Tech3) menamatkan ujian Shakedown selama tiga hari  tersebut dengan hasil yang memuaskan. Beliau berjaya menamatkan ujian tersebut di tempat keempat pada hari terakhir dan catatan masa terbaiknya hari ini iailah 2:00.482. Juara Dunia Moto2 ini akan kembali ke Sepang selama tiga hari pada ujian rasmi Jumaat ini. Ujian tersebut lebih mencabar di mana beliau akan disertai oleh pesaingnya pada 2023.


APRILIA

Pelumba ujian Aprilia, Lorenzo Savadori telah kembali menggunakan pakej aero fairing hadapan Aprilia yang baharu pada hari terakhir. Beliau sangat bekerja keras pada minggu ini dengan mencuba lebih daripada satu RS-GP. 

Savadori, seperti yang dijelaskan oleh Aprilia Racing Paolo Bonora semalam, juga sibuk menyediakan jentera untuk Aleix Espargaro. Kedua-dua pelumba utama Aprilia termasuk Maverick Vinales berada di tepi trek memerhati jentera mereka untuk lebih bersedia menjelang Ujian Rasmi bermula pada hari Jumaat.


HONDA

Stefan Bradl pelumba paling bekerja keras pada kali ini apabila beliau sibuk melakukan perbandingan berturut-turut antara pakej aero HRC yang berbeza-beza. Pelumba Jerman itu juga meluangkan sedikit masa untuk mencuba jenteranya tanpa ekor dinasor itu.


Jadi itu sahaja Rangkuman ujian Shakedown dari Litar Antarabangsa Sepang. Kini, kami tidak sabar-sabar menunggu jam 10 pagi waktu Malaysia pada pagi Jumaat untuk melihat ujian rasmi.

Sumber Berita : motogp.com
Sumber Gambar : MotoGP

Comments

Follow Us