Hayden Terus Cemerlang di Thailand


 Memenangi perlumbaan ketiga dan tempat keenam pada perlumbaan keempat, Pusingan kedua Kejuaraan Idemitsu Super Turbo pada hujung minggu lalu di Litar Antarabangsa Buriram, Thailand pasti mengukuhkan kedudukan kejuaraan buat remaja dari Malaysia, Hayden Haikal.

Dengan tiga kemenangan dalam empat perlumbaan setakat ini, Hayden bersama Toyota Vios dari Pasukan Wing Hin Motorsports meneruskan penguasaan mereka dalam Kelas Junior untuk enjin beraspirasi biasa sehingga 1550cc dan kekal sebagai pesaing utama perlumbaan secara keseluruhan didalam saingan kategori pengecas turbo serta kelas terbuka.

Hayden yang kini berusia 18, memulakan saingan minggu lepas dengan kecuaian yang besar ketika sesi latihan bebas pada hari Jumaat menyebabkan pasukan terpaksa bekerja terlalu keras dengan masa tiga jam untuk memperbaiki jentera agar boleh menyertasi sesi kelayakan. Hayden dan pasukan bangkit untuk mencatat masa ketiga terpantas dalam Kelas.

Hayden memulakan perlumbaan satu pada hari Sabtu dengan baik. Hayden berjuang untuk mendahului Kelasnya dan berjaya mengejar sehingga tempat ke-12 keseluruhan namun jentera beliau mengalami masalah transmisi ketika pertengahan perlumbaan yang menyebabkan jentera beliau hanya mempunyai gear ke-5.

“Saya bersaing dengan baik bersama peneraju Kelas dan saya berjaya melarikan diri daripadanya apabila tiba-tiba jentera saya tidak dapat turun dari gear ke-5. Syukur kami berjaya menyelesaikan masalah tersebut untuk perlumbaan kedua pada hari Ahad,” kata Hayden.

Hayden menebus kekecewaan beliau apabila berjaya meneraju Kelas beliau ketika Perlumbaan 2 pada hari Ahad. Beliau juga berjaya menduduki tempat ke-8 keseluruhan di tengah-tengah pemandu profesional dan jentera pengecas turbo. Hayden menamatkan perlumbaan di tempat ke-2 dalam Kelas tetapi kemudiannya dinaikkan ke tempat pertama apabila pemenang perlumbaan dikenakan penalti.

“Perlumbaan bermula dengan sedikit huru-hara apabila banyak kereta memenuhi laluan utama litar sehingga menyebabkan kemalangan. Saya bernasib baik kerana berjaya mengelak dari pelanggaran beramai-ramai dan melepasinya dengan selamat sebelum bendera merah dikibarkan. Apabila perlumbaan disambung semula, saya bersaing dengan tiga kereta teratas sebelum saya memotong mereka satu demi satu,” tambah Hayden.  

Membuat penampilan sulungnya dalam Kejuaraan Super Turbo Idemitsu pada bulan Mac lalu, Hayden telah melakar kemenangan berturut-turut dalam dua perlumbaan pembukaan tersebut. Dengan tiga kemenangan dari empat perlumbaan, Hayden mengekalkan kedudukannya kejuaraan dalam Kelas Junior (Normally Aspirated). Pusingan ketiga dan terakhir Kejuaraan Idemitsu Super Turbo akan berlangsung dari 16-18 Jun 2023 di litar yang sama.

Teruskan bersama Two Wheels..!

Comments

Follow Us