Hj Sutan Mustaffa kembali bersaing di Thailand Rally Championship 2023

 

Minggu ini, negara kita akan diwakili oleh pelumba veteran litar lumba dan rali negara, Hj Sutan Mustaffa bin Salihin didalam saingan RAAT Thailand Rally Championship 2023. Pusingan ke-3 bakal berlangsung pada 21hb – 22hb Julai 2023 di daerah Lop Buri, Utara Thailand. Beliau yang terpaksa melupakan hasrat menyertai Pusingan ke-2 pada bulan Mei lalu di daerah Khampaeng Phet kerana masalah penajaan telah bertekad kali ini untuk cuba mencabar pemenang-pemenang pusingan lalu bagi kategori RC-1 (Super 4WD).

Dengan pengalaman serta kemahiran yang ada, pelbagai perlumbaan dan kejuaraan telah dimenangi oleh Hj Sutan Mustaffa sepanjang kariernya di peringkat nasional atau antarabangsa. Pengalaman beliau dalam saingan Toyota Gazoo Racing (TGR), Malaysian Festival of Speed (MSF), Malaysian Championship Series (MCS), Malaysian Rally Championship (MRC) dan pelbagai kejohanan perlumbaan lain menjadikan taruhan pengalaman yang sangat berharga kepada beliau. Tidak heranlah nama Hj Sutan Mustaffa tidak asing dalam pentas podium di litar lumba dan rali peringkat Kebangsaan semenjak 1998 hingga kini. Antara kejayaan beliau di peringkat antarabangsa adalah menjadi Juara Keseluruhan Thailand Rally 2022 pada tahun lalu yang berlangsung di daerah Rayong dengan kemenangan ke atas peserta tuan rumah Thailand dan Jepun.

Hj Sutan Mustaffa sekali lagi akan dibantu oleh Juru Arah yang berpengalaman iaitu Shahrol Zainal dan mempertaruhkan jentera Subaru Impreza WRX 2000cc 4WD Turbo iaitu kereta yang sama digunakan dalam Kejohanan Rali Nasional Malaysia (MNRC) 2022 dan Thailand Rally 2022 tahun lalu.

Seperti yang sedia maklum, pasukan ini adalah hasil usahasama dari Kelab Sukan Permotoran Pengembaraan Millennium (MMAC) yang dibantu rakan pasukan dari SMS Motorsport & Driving (SMS), Secret Service Garage (SSG), Spaceport, Millers Oil, Edge Racing dan Superman Print Lab (SPL). Segala persiapan sudah lengkap dilakukan dan pasukan ini bersedia memberikan cabaran untuk mengukir nama sekali lagi sebagai antara pemenang dalam pusingan ke-3 RAAT Thailand Rally Championship 2023 kali ini.

“Kami telah melakukan perancangan sejak bulan Mei yang lalu dan pelbagai persiapan telah dilakukan samada dari meningkatkan keupayaan jentera lumba Subaru itu sendiri, persiapan kecerdasan pelumba dan menghubungi rakan-rakan di Thailand bagi mendapatkan maklumat tambahan bagi memudahkan penyertaan dalam pusingan ke-3 ini” - komen Haji Sutan.

Penyertaan kali ini turut disertai oleh pelumba baru dalam sukan rali di Malaysia yang sedang menimba pengalaman iaitu Ezamin Ezham Ismail dan dibantu oleh Juru Arah Fazrul Akmal Khalid. Lebih dikenali sebagai Zam Garage, beliau yang mempertaruhkan kereta Perodua Myvi 4WD Turbo dalam Pusingan ke-3 ini turut menjadikan Hj Sutan Mustaffa sebagai Mentor Sukan Rally bagi mendapat bimbingan dan tunjuk ajar serta menimba pengalaman.

Hj Sutan Mustaffa dan Ezamin Ezham juga melahirkan rasa kecewa kerana sukan rali di Malaysia yang sudah berkubur sejak tahun 2019, tiada lagi tanda-tanda akan dianjurkan semula oleh mana-mana pihak penganjur. Justeru, ramai pengemar sukan rali berharap kerajaan di bawah Kementerian Belia dan Sukan Malaysia dapat melakukan sesuatu bagi menghidup serta mengembalikan kegemilangan sukan rali di negara kita.

Teruskan bersama Two Wheels..!


Comments

Follow Us