- Get link
- X
- Other Apps
Perlumbaan bukanlah segala-galanya mengenai penamat di podium dan itulah yang menanti Hayden Haikal pada pusingan ketiga perlumbaan Siri Super Thailand (TSS) yang baru berakhir kelmarin.
Walaupun sentiasa terpantas didalam Kelas Super Eco, masalah mekanikal memaksa Hayden mengharungi hujung minggu yang sangat mencabar.
Beliau melayakkan diri pada kedudukan ke-11 dan tidak seperti penampilan pertamanya di Litar Jalanan Bangsaen, Thailand tahun lalu di mana dia bersaing untuk kedudukan tiga teratas, perlumbaan tahun ini dengan pasukan serta kereta baharu, meletakkan pelumba berusia 18 tahun itu di tempat ke-12 dan ke-20 pada perlumbaan satu dan dua.
Rentak beliau mengelilingi litar jalanan sepanjang 3.7km itu semakin teruk apabila masalah pada enjin yang uzur dikesan dan keputusan pasukan Pipekids Racing untuk menggantikan enjin setelah tamat perlumbaan pertama, bermakna beliau terpaksa memulakan perlumbaan kedua dari belakang grid.
“Kelajuan kereta kami turun 10-15km/j sepanjang sesi kelayakan dan Perlumbaan 1. Kami agak lewat mengesan masalah ia disebabkan oleh enjin yang kehilangan mampatan.
Ianya meletakkan pasukan dalam dilema samada untuk meneruskan Perlumbaan 2 kerana mengetahui bahawa kami tidak bertenaga untuk bersaing atau menggantikan enjin dan bermula dari belakang.
Demi kepentingan pasukan dan sebagai persediaan pusingan seterusnya, kami membuat keputusan sukar untuk menggantikan enjin dengan harapan dapat menyelamatkan perlumbaan hujung minggu,” jelas Hayden yang bukan sahaja berlumba untuk Pipekids Racing, beliau juga memegang peranan sebagai pemacu pembangunan pasukan.
“Secara peribadi, keputusan hujung minggu lalu akan memberi impak besar kepada kempen saya untuk kejuaraan tahun ini dengan baki tiga pusingan lagi."
"Di samping mengejar kegemilangan, saya juga mempunyai tanggungjawab profesional yang lebih besar untuk dilaksanakan dan itu adalah untuk membantu membangunkan kedua-dua kereta baharu dan pasukan, saya percaya kami telah mencapai kemajuan yang besar di tengah keputusan yang mencabar. "
"Seperti semua pasukan perlumbaan yang baharu, ia mengambil masa untuk membangunkan jentera yang dapat memenangi perlumbaan. Tidak dapat dielakkan, anda pasti akan mengalami kemunduran tetapi kami pasti kami akan bangkit dengan lebih kuat untuk bergerak ke hadapan.”
Dalam tiga pusingan yang telah berlangsung, pemanduan terbaik Hayden untuk pasukan bersama jentera Honda Brio Amaze yang serba baharu setakat ini ialah menduduki tempat ke-2 dalam Pusingan 2 selepas memulakan musim dengan tempat ke-5 dan ke-6.
Siri Super Thailand akan diadakan sebanyak enam pusingan dengan Pusingan 1, 2 dan 3 telah pun selesai. Pusingan 4 (25-27 Ogos) kembali ke Litar Antarabangsa Chang diikuti Pusingan 5 (15-17 September) di Grand Prix F1 Singapura dan pusingan akhir dari 14-17 Disember sekali lagi di Litar Antarabangsa Chang.
Teruskan bersama Two Wheels..!
Comments
Post a Comment