Alex Rins sudah tawar hati, perlu bertindak demi masa depan.


Untuk terus maju, seseorang pelumba mestilah mendapat kerjasama yang baik daripada seluruh pasukan kerana dunia perlumbaan ialah arena pekerjaan hasil gandingan usaha sama semua yang terlibat.

Alex Rins yang sebelum ini berada di pasukan kilang Suzuki pastinya mendapat perhatian yang penuh dan apa jua pandangan yang diberikan akan diambil berat oleh pihak pengeluar. Walaubagaimanapun ia amat berbeza apabila beliau berhijrah ke Honda.

Kontrak yang ditandatangani bersama HRC ialah 2 tahun namun belum pun sampai semusim penuh, Rins telah menjadi satu-satunya pelumba Honda yang memenangi perlumbaan walaupun hanya berada di pasukan satelit. Pun begitu hasil tersebut tidak menjadikan dirinya sebagai satu aset penting buat pengeluar dari Jepun itu.

Buktinya segala pembangunan yang dibuat Honda tidak dilibatkan pelumba dari Sepanyol itu sepenuhnya. Sehingga kini chassis Kalex belum pun dapat diuji oleh Rins walaupun ia boleh dikatakan sudah beberapa bulan dipadankan kepada RC213V.

Dek kerana kurangnya perhatian terutamanya sokongan pihak pengeluar maka Alex Rins membuat keputusan untuk menghentikan kerjasama antaranya dengan Honda.

Ramai pihak luar dan para peminat MotoGP dapat merasai kehampaan yang ditanggung oleh Rins. Ia dilihat amat tidak adil atas apa yang dilakukan oleh pihak HRC setelah mana Rins telah pun menunjukkan daya juang dan prestasi yang cemerlang mengalahkan pelumba kilang mereka iaitu Joan Mir.

Comments

Follow Us