Kedatangan Luca tepat pada masa, Marc yakin kemampuan Honda.

📷crash.net

Usia kian meningkat, tenaga juga makin menurun tetapi saingan menjadi semakin kuat dan sengit, itulah realiti yang diterima dan dipandang nilai oleh juara dunia MotoGP 8 kali, Marc Marquez.

Honda merupakan satu nama yang amat gah di persada dunia apatah lagi dalam kancah perlumbaan. Ia ibarat sebuah pasukan kayangan dan elit maka sudah menjadi hasrat para pelumba untuk menyarung warna Repsol Honda di lapangan MotoGP.

Buat ketika ini seperti yang kita nampak, Honda bergelut dengan kesulitan membawa nama mereka kembali teratas setelah sekian lama sering tampil hebat menewaskan pihak lawan. Oleh kerana kemerosotan prestasi mereka maka ayam tambatan, Marc Marquez terpaksa mengangkat kaki dan berpindah ke pasukan lain.

Marc akui bahawa HRC adalah antara kem yang hebat. Beliau amat yakin bahawa Honda akan kembali naik menjadi kuat namun untuk dirinya yang kini kian berusia, beliau terpaksa berhijrah demi mengejar hasrat untuk kembali menjadi juara dunia.

Marc yakin bahawa Luca Marini mampu mengendali jentera Honda dan akan berjaya menjulang kembali kemegahan pasukan dari Jepun tersebut memandangkan Luca masih muda dan perjalanannya masih jauh.

Jika dilihat pada keputusan sesi ujian lalu, Luca telah mencatat masa yang memberansangkan bila mana berjaya menempatkan diri dalam kelompok 10 terpantas. Ia sesuatu yang mengagumkan sementelah pelumba-pelumba senior lain iaitu Joan Mir dan Takaaki Nakagami tamat di belakangnya.

Untuk pengetahuan semua, HRC kali ini telah mengambil langkah berani dengan membina semula RC213V. Ia merupakan satu kerja yang berskala besar dan pada masa sama kedatangan Luca yang telah terbiasa dengan jentera Ducati, pasti dapat memberi input yang berguna dalam usaha menambah baik prestasi jentera Honda.

Comments

Follow Us