Sepatah dua kata daripada Dato Razlan.


Semalam satu sejarah Manis telah tercipta di mana pelumba pelapis negara Qabil Irfan Azlan telah berjaya menjadi juara dunia bagi kejohanan FIM Ohvale Minigp World Series untuk kategori 160cc. Qabil menang bersih dalam ketiga-tiga perlumbaan semalam menjadikan lagu Negaraku berkumandang setiap kali selepas selesai perlumbaan.

Turut hadir memberi sokongan, Dato Razlan Razali amat gembira dengan prestasi yang ditunjukkan oleh Qabil. Bagi Dato Razlan, Qabil sememangnya layak menang setelah bertungkus lumus selama ini melakukan persediaan di sudut latihan baik secara sendiri mahupun bersama ZK Racing.

Tidak putus ucapan tahniah daripada Dato buat Qabil dan juga bapanya, Azlan. Seperti yang kita dapat lihat selama ini di media sosial yang dikongsikan oleh Azlan, banyak pengorbanan di sudut masa, tenaga dan juga wang ringgit yang telah diluahkan dan kejayaan semalam adalah salah satu ganjaran buatnya.

Tambah Dato Razlan lagi, kejayaan Qabil ini juga membuktikan bahawa program minigp yang ditubuhnya dahulu dan kini diteruskan oleh pihak Litar Antarabangsa Sepang dan ZK Racing, amat berkualiti dan caranya juga tepat. Kita dapat lihat pada tahun ini ZK Racing mengadakan perlumbaan minigp Siri Malaysia di beberapa litar yang berbeza dan pada masa sama turut mengajak pelumba-pelumba luar negara untuk sertai kejohanan tempatan tersebut. Ia bagi menjadikan saingan yang dihadapi oleh para pelumba cilik kita lebih berdaya saing dan seterusnya banyak perkara yang dapat dipelajari.

Bagi penutup, Dato menegaskan bahawa perjalanan Qabil adalah masih jauh namun permulaan yang cantik ini harus dikembangkan dengan memberi ruang buat Qabil untuk melanjutkan karier di Benua Eropah. Untuk pengetahuan semua, Dato Razlan juga antara individu yang aktif membuat perancangan buat perjalanan Qabil bersama dengan ZK Racing.

Comments

Follow Us