Litar Antarabangsa Sepang buruan dunia

📷Michelin Motorsports


Seperti yang kita sedia maklum, pada awal bulan Februari ini, Litar Antarabangsa Sepang akan menjadi tumpuan para pasukan dan pelumba termasuklah para media dalam dan luar Negara untuk meneruskan Ujian Rasmi Pra-Musim MotoGP musim 2024. Sebelum kita ke Sepang, mari kita kenali litar kebanggaan rakyat Malaysia ini.

Litar Antarabangsa Sepang ialah sebuah litar yang telah digunakan untuk perlumbaan berprestig dunia seperti MotoGP, WorldSBK, F1 dan kejohanan sukan permotoran yang lain di peringkat dunia mahupun tempatan. Litar ini terletak berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan kira-kira 60km di selatan ibu kota Kuala Lumpur.

📷Road Racing World
Lokasi : Sepang, Selangor, Malaysia
Dibuka : 7 Mac 1999
Arkitek : Hermann Tilke
Jarak litar : 5.543 km 
Selekoh : 15

 

Sejarah

Litar ini telah direka oleh Hermann Tilke, yang kemudiannya merekabentuk litar dibeberapa negara antaranya Shanghai, Bahrain, Turki, Valencia, Singapura, Korea, India dan Texas. Litar ini dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia yang keempat, iaitu Tun Dr Mahathir Bin Mohamad pada 7 Mac 1999.

Beliau kemudiannya merasmikan perlumbaan Moto GP yang pertama di Malaysia pada 20 April 1999, dan juga perlumbaan Formula Satu pertama di Malaysia. Litar ini telah beberapa kali menjalani proses penambahbaikan seperti penurapan semula pada 2016 dan perubahan selekoh ke 15 serta tempat duduk penonton pada tahun 2019.

Pada 23 Oktober 2011, pada pusingan kedua dalam perlumbaan Moto GP 2011, pelumba motosikal dari Itali, Marco Simoncelli, meninggal dunia selepas mengalami kemalangan di selekoh ke-11. Perlumbaan dihentikan berikutan kemalangan tersebut.

 

Susunan litar

Litar utama, biasanya digunakan mengikut arah jam, ialah 5,54 kilometer panjang, dan mempunyai sudut menyapu dan jalan lurus yang luas. Susunan litar ini agak luar biasa. Litar ini mempunyai jalan yang lurus yang dipisahkan dari pit dan diikuti oleh satu belokan yang amat tajam.

Konfigurasi yang lain juga boleh digunakan untuk berlumba mengikut arah jam. Konfigurasi ini menggunakan separuh pertama litar utama dan berpaling ke arah pit, selepas belokan keenam dan ia adalah 2,71 km panjang secara keseluruhan.

Litar selatan ialah separuh lain litar ini. Belakang litar utama menjadi pit lurus apabila litar selatan digunakan, dan bersambung ke selekoh kelapan untuk membentuk satu belokan tajam. Dengan mengikut arah jam, litar ini adalah 2,61 km panjang.

 

Mengapa Sepang Menjadi Pilihan Ujian Rasmi Pra-Musim (Winter Test)

Sebab utama Litar Sepang dipilih sebagai tempat ujian pasukan MotoGP adalah kerana struktur dan keunikan litar itu sendiri. Berdasarkan kenyataan oleh pasukan-pasukan di dalam MotoGP, keunikan pertama adalah kerana terdapat chicane (fast turning corner) terutama di selekoh 1 hingga 3. 

Mereka berpendapat data dari selekoh tersebut dan beberapa bahagian litar lain yang penuh teknikal sangat diperlukan selain bentuk muka bumi yg curam dan berbukit. Selain itu cuaca panas yang ekstrem dan hujan juga membolehkan ujian tersebut memberikan data untuk pembagunan jentera sebelum ujian kedua di Partimo nanti.

Dari segi lain pula adalah faktor logistik yang sangat mudah untuk ke semua pasukan untuk melakukan menguruskan pergerakan krew serta kelengkapan pasukan ketika ujian. Ini kerana litar ini sangat hampir dengan lapangan terbang antarabangsa (KLIA) dan tempat-tempat penginapan pelumba serta krew. 

Dari segi kemahiran pelumba pula adalah tertumpu kepada kecekapan berfikir ketika menggunakan brek dan kuasa jentera dengan betul, bersabar untuk kekal di grid perlumbaan serta kecekapan ketika keluar dari selekoh  bagi menakhluki litar tersebut.

Kesemua data yang diperolehi dari sesi ujian di Litar Sepang amat penting sebelum ujian seterusnya di Qatar kelak untuk memastikan pasukan mempunyai data yang cukup sebelum perlumbaan pertama nanti. Pada tahun ini, kedatangan mungkin akan lebih sendu berbanding sebelum ini kerana ujian diadakan pada hari bekerja tahun ini 6-8 Februari. 

Teruskan bersama Two Wheels..!

Comments

Follow Us