SIC dan KBS Bantu Qabil Irfan



Dengan prestasi Qabil Irfan yang merangkul gelaran juara dunia MiniGP World Series baru-baru ini, beliau mendapat perhatian daripada KBS dan SIC untuk ke peringkat yang lebih tinggi.

Bukan sahaja akan berpindah daripada Terengganu untuk menetap di Selangor, malah beliau juga akan ke Sepanyol untuk bersaing di ESBK dalam kelas Moto4.

Ikuti kenyataan penuh sidang media daripada pihak SIC dibawah :

KBS DAN LITAR ANTARABANGSA PETRONAS SEPANG KOMITED BANTU PENEMPATAN BARU QABIL IRFAN UNTUK LATIHAN DAN BIMBINGAN YANG LEBIH KOMPREHENSIF

Isnin, 8 Januari 2024 - Sesi kunjungan hormat dari Juara Dunia FIM MiniGP World Series 160cc, Adik Qabil Irfan Azlan kepada Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh telah berlangsung pada hari Isnin di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil. Dalam pertemuan tersebut, Qabil Irfan telah mempersembahkan trofi kemenangan yang telah diraih di dalam perlumbaan MiniGP World Series Final 2023 di Valencia, Sepanyol yang telah berlangsung pada 22-23 November 2023.

Pada tahun 2024, Qabil Irfan akan diserap masuk sebagai atlet sepenuh masa dalam Program Pembangunan Sukan Permotoran yang dikelolakan oleh Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang dan bakal bertanding dalam kejohanan FIM Mini GP Malaysia Series 190cc dan Moto4 di kejohanan ESBK di Sepanyol. Beliau akan menjalani sesi latihan bersama-sama lima (5) atlet lain yang akan berlumba dalam kejohanan di peringkat asia dan antarabangsa. Sebagai usaha bagi memudahkan dalam pengurusan latihan yang berkala yang harus dijalani oleh beliau di bawah bimbingan En Zulfahmi Khairuddin, Qabil Irfan akan mula menetap dan bersekolah di negeri Selangor. Keluarga Qabil Irfan akan turut berpindah untuk memberi sokongan penuh terhadap pembangunan karier sebagai seorang pelumba motosikal.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama pihak Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang akan membantu penempatan baru Qabil Irfan dan keluarganya di Selangor dengan menguruskan pemindahan sekolah untuk adik-beradik dan mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian buat ayah Qabil Irfan. Pemindahan Qabil Irfan ke Selangor bertujuan untuk memastikan beliau menerima pendedahan, bimbingan dan latihan yang komprehensif dengan menggunakan Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang dan fasiliti sekitarnya sebagai pusat latihan.

Dalam pertemuan ini, Qabil Irfan yang kini berusia 12 tahun turut berkongsi pengalaman semasa beliau berlumba di peringkat kebangsaan sebelum beliau terpilih untuk mewakili Malaysia di kejohanan FIM MiniGP Wold Series Final di bumi Andalusia, Sepanyol. Karier beliau bermula ketika beliau baru berusia empat (4) tahun di bawah bimbingan ayah beliau sendiri. Potensi yang ditunjukkan telah menarik minat ZK Racing dan menyerap beliau untuk bertanding di dalam Kejohanan FIM MiniGP Malaysia Series ketika beliau berumur lapan (8) tahun.

Sesi Kunjungan Hormat ini telah disertai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang, En Azhan Shafriman Hanif, En Iliyas Rabani dan En Mansyawa Al Khudri daripada Jabatan Pembangunan Sukan Permotoran, Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), En Mohd Azhari bin Mohammad dan Penolong Pengarah Kanan, Cawangan Pembangunan Sukan Rekreasi, En Mua’zam Shah. Adik Qabil hadir dengan diiringi oleh Pengurus Pasukan ZK Racing, En Zulfahmi Khairuddin bersama En Azlan Abd Rahman, ayah Qabil Irfan.

Pihak Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang dan ZK Racing mengucapkan ribuan terima kasih kepada YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan kerana sudi meluangkan masa untuk menyantuni Qabil Irfan dan pasukannya. Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang bersama KBS akan terus memberi sokongan dalam program-program pembangunan sukan permotoran di negara ini dan berharap usaha berterusan ini dapat melahirkan lebih banyak pelumba berbakat terutamanya bakat baru dari peringkat akar umbi.

Sumber : Petronas Sepang International Circuit

Comments

Follow Us