'Money' bukan hal remeh.


Aprilia telah menyertai saingan MotoGP lebih 10 tahun namun kini nama mereka mula berkembang dan sering menjadi sorotan media serta para peminat. Pelumba mereka juga iaitu Aleix Espargaro pernah bersaing dalam merebut gelaran juara dunia 2 tahun lepas namun menghampiri penghujung, kemaraan Yamaha dan Ducati tidak dapat disekat.

Bagi memastikan keadaan mereka terus bertambah baik dan maju maka khidmat pelumba yang kuat juga harus diperoleh. Buat masa sekarang, mereka hanya mempunyai seorang calon untuk mendapat gelaran juara dunia iaitu Maverick Vinales. Seawal kemasukan Top Gun lagi sudah didendang bahawa beliau ialah senjata buat Aprilia untuk menjadi yang teratas. 

Bagi kes Maverick ini, Aprilia dilihat hanya bernasib baik kerana Papa Nina ketika itu mempunyai krisis dengan Yamaha lalu menjadikan beliau tiada tempat lain lagi untuk berlumba. Oleh sebab itu kontrak bersama Aprilia dengan bayaran dipercayai jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan Yamaha, ditandatangani.

Kini dengan keadaan jentera yang berdaya saing, Aprilia ingin menambah pelumba yang mampu menjadi nombor satu iaitu Fabio Quartararo namun tidak berjaya kerana bajet di kem pengeluar Itali itu amat kecil dan langsung tidak mampu menyaingi Yamaha. Kesannya mereka kalah dalam merekrut Fabio lalu usaha terbesar itu telah gagal, dek kerana keadaan kewangan mereka.

Kali ini sekali lagi Aprilia diuji di bahagian kewangan bila mana satu lagi gergasi MotoGP iaitu Honda ingin merekrut Vinales bagi menjadi pelumba di pasukan utama mereka, Repsol Honda. Dikhabarkan bayaran yang dihulur bukan kepalang dan jauh lebih besar jika dibandingkan dengan apa yang Yamaha pernah beri dahulu. 

Maka dengan ini telah bermula peperangan antara wang dan kemampuan jentera antara Aprilia dengan Honda bagi mendapatkan khidmat Maverick Vinales.

Comments

Follow Us