Menggapai Impian di Litar: Kisah Dua Pasukan Persendirian Malaysian Cub Prix


Menggapai Impian di Litar: Kisah Dua Pasukan Persendirian Malaysian Cub Prix

Dalam dunia perlumbaan Malaysian Cub Prix, kisah dua pasukan persendirian, Hypertune Garage Jmy Motor dan Pasukan KF Teguh Racing menjadi inspirasi kepada mereka yang bercita-cita besar. Dengan semangat kental dan pengorbanan besar, mereka membuktikan bahawa impian boleh dikejar walaupun tanpa sokongan kewangan yang kukuh.

Hypertune Garage Jmy Motor, diasaskan oleh Jimmy Lim dan Dan Keat, bermula sebagai bengkel kecil di Jejawi, Perlis. Mereka mula mendapat perhatian melalui Kejohanan Endurance Braaap 2023, di mana kejayaan awal membuka peluang menjadi juruteknik sokongan untuk pasukan ternama seperti AzlanShah AS25 dan Brother7. Pada tahun 2024, mereka melangkah lebih jauh dengan menyertai kategori PETRONAS Sprinta Pro-Am Cup, menggunakan motosikal Yamaha Y15 yang diubah suai sendiri.

Namun, perjalanan mereka penuh cabaran. Kekangan kewangan dan kesukaran mendapatkan pelumba berpengalaman menjadi halangan utama. Walau bagaimanapun, dengan sokongan moral daripada komuniti dan rakan-rakan, mereka terus berjuang. Sasaran pasukan ini adalah menamatkan musim dalam kelompok 10 terbaik di Batu Kawan, Pulau Pinang, sambil merancang peningkatan untuk tahun 2025. Bagi Jimmy, “Jiwa berlumba lebih penting daripada segala-galanya.”

Sementara itu, Pasukan KF Teguh Racing ditubuhkan pada tahun 2022 oleh Kadzim Bin Kamaruddin yang disokong oleh Othman@Nanang (Chief Krew) dan Asraf@Acap (Krew) demi memastikan impian anaknya, Khairul Firdaus, tidak terhenti. Khairul, yang pernah berlumba dalam kategori Honda One Make Race, tidak terpilih ke kelas premium Malaysian Cub Prix. Namun, Kadzim nekad menubuhkan pasukan persendirian yang dibiayai sepenuhnya menggunakan wang sendiri.

Tanpa tajaan, pasukan ini tetap mencatat kejayaan membanggakan, termasuk naib juara di Sepang Utara (2022) dan tempat ketiga di Teluk Intan (2023). Melangkah ke hadapan, mereka bercadang menambah motosikal dan pelumba, selain meningkatkan teknologi untuk terus bersaing.

Kisah dua pasukan ini membuktikan bahawa kejayaan bukan sekadar tentang dana besar, tetapi tentang semangat, kerja keras, dan sokongan moral. Mereka menjadi inspirasi bahawa dengan usaha gigih, impian di litar mampu dicapai.

Teruskan Bersama Two Wheels..!

#TwoWheels #TWgear #TWinfo #TWmedia #MGPM #TW #PETRONAS #MCP #Pro-AmCup


Comments

Follow Us