Skuad Terkuat KTM Untuk MotoGP Musim 2025

Gresini lancar Livery 2025 MotoGP, Moto2 dan MotoE

Imola, Itali – Gresini Racing telah membuka tirai untuk projek MotoGP 2025 dengan pelancaran bergaya di Litar Antarabangsa Imola awal pagi tadi. Barisan pelumba muda mereka, Alex Marquez dan pendatang baharu Fermin Aldeguer, tampil dengan keyakinan tinggi untuk mencipta impak di kejohanan tahun ini.

Apa yang menarik perhatian peminat adalah kemunculan jentera baharu Desmosedici GP24 dengan sentuhan warna biru pastel digandingkan dengan kemasan krom yang menyerlah. Ia bukan sahaja memancarkan imej moden, malah membawa semangat agresif yang jelas menjadi DNA pasukan ini. Ini sekaligus boleh dikatakan warna merah sebelum ini telah 'disedut' kesemuanya oleh bekas pelumba sensasi mereka, Marc Marquez ke pasukan kilang Ducati.

Acara pelancaran ini tidak hanya tertumpu pada pameran jentera dan pelumba. Ia turut menjadi ruang penghormatan kepada pengasas pasukan, Fausto Gresini, dengan pameran sejarah pasukan di sebuah muzium khas. Para tetamu juga dibawa melalui terowong bertema filem yang menceritakan perjalanan Gresini Racing dari era lampau hingga kini.

“Kami melangkah ke tahun 2025 dengan penuh motivasi dan impian besar,” ujar Nadia Padovani, pemilik pasukan. “Dengan barisan pelumba muda dan jentera baharu ini, kami yakin untuk terus mencipta kejutan di kejohanan ini.”


Alex Marquez, yang kini memasuki tahun ketiga bersama Gresini Racing, menyatakan keazamannya:
“Musim lalu berakhir dengan baik, dan saya telah melakukan segalanya untuk bersedia secara fizikal dan mental. Warna baharu ini sangat luar biasa, dan saya harap ia disertai dengan keputusan yang hebat di litar!”


Bagi Fermin Aldeguer, pelancaran ini menjadi detik istimewa sebagai penampilan pertamanya di MotoGP:
“Ini pengalaman baharu buat saya dalam pelbagai aspek. Jentera ini sangat agresif dan mencerminkan semangat pasukan ini. Saya sudah tidak sabar untuk turun ke litar!”

Selepas kejayaan musim 2024, Gresini Racing optimis untuk meneruskan momentum mereka. Alex Marquez dijangka menjadi pencabar utama untuk kelompok lima teratas, manakala Aldeguer membawa nafas baharu kepada pasukan ini dengan bakat mudanya.

Dengan jentera baharu yang direka untuk memberi impak di atas trek dan kempen promosi yang mantap, Gresini Racing kini bersedia untuk menggegar kejohanan MotoGP™ 2025.

Ikuti perkembangan seterusnya di Two Wheels Media – destinasi utama peminat motorsport!











Comments

Follow Us