CFMoto 125NK, Naked Bike pemula ideal untuk pasaran eropah

 


CFMOTO 125NK merupakan motosikal naked dalam segmen 125cc yang direka khas untuk pemegang lesen A1 di Eropah. Kami berpeluang menguji jentera ini di perkarangan litar go-kart di AIA Riding School Algarve, dan ia menunjukkan prestasi yang sesuai untuk penunggang baru serta mereka yang mahukan tunggangan lincah dalam bandar.

Dari segi prestasi, 125NK dikuasakan oleh enjin 124.2cc DOHC satu silinder yang menghasilkan 14.4 hp pada 10,500 rpm dan tork 10.2 Nm pada 8,500 rpm. Ketika sesi ujian dilakukan pada waktu pagi yang sejuk, kami mendapati enjin mengalami sedikit sebu dalam beberapa pusingan awal sebelum mencapai suhu operasi yang ideal. Namun, selepas itu, motosikal ini beraksi dengan lancar dan menunjukkan kestabilan yang baik.

Antara kelebihan utama 125NK ialah keselesaannya ketika mengambil selekoh. Dengan berat hanya 142 kg, jarak roda 1,360 mm, serta suspensi hadapan upside-down dan monoshock boleh laras, motosikal ini sangat mudah dikendalikan. Ia memberi keyakinan kepada penunggang, terutama ketika memasuki selekoh dengan kelajuan sederhana. Tayar yang digunakan juga memberi sokongan yang baik di permukaan simen, menjadikannya sesuai untuk pelbagai keadaan jalan raya.

125NK lebih ditujukan untuk pasaran Eropah, di mana motosikal dalam kategori A1 mendapat permintaan tinggi. Di Eropah, lesen A1 membolehkan penunggang berumur 16 tahun ke atas menunggang motosikal dengan kapasiti enjin maksimum 125cc dan kuasa tidak melebihi 15 hp. Ini menjadikan 125NK pilihan yang ideal bagi mereka yang baru mula menunggang sebelum beralih ke motosikal berkuasa lebih tinggi.

Namun, model ini tidak akan memasuki pasaran Malaysia. Kami berpendapat ia sukar untuk menembusi pasaran tempatan kerana persaingan sengit dengan model kapcai, yang lebih murah dan lebih praktikal untuk kegunaan harian. Rakyat Malaysia umumnya lebih memilih kapcai berbanding naked bike dalam kategori ini kerana faktor harga, kos penyelenggaraan yang lebih rendah, serta kemudahan penggunaan dalam kehidupan seharian.

Secara keseluruhannya, CFMOTO 125NK adalah jentera menarik untuk pasaran Eropah, terutama bagi pemegang lesen A1 yang mahukan motosikal ringan, lincah dan moden untuk kegunaan harian serta perjalanan pendek. Namun, ia tidak akan dipasarkan di Malaysia kerana kurangnya permintaan dalam segmen ini.

Teruskan Bersama Two Wheels!

















#tw #twmedia #cfmoto #cfmoto125nk


Comments

Follow Us