Pasukan TW Racing Dilancarkan


TW Media dengan bangganya mengumumkan pelancaran rasmi TW Racing Team, sebuah pasukan yang bakal memberi impak dalam arena perlumbaan tempatan. Majlis pelancaran yang disempurnakan oleh YM Prof Madya Dr Raja Mohammed Firhad Raja Azidin, Dekan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM Shah Alam), berlangsung di South Paddock, PETRONAS Sepang International Circuit ini menandakan permulaan baharu bagi pasukan dalam pelbagai kejuaraan utama Malaysia.

TW Racing Team bukan sekadar pasukan perlumbaan, tetapi juga platform pembangunan bakat tempatan dalam sukan permotoran, merangkumi pelumba, kejuruteraan, kewartawanan, pendidikan, dan pengurusan sukan permotoran.

Tahun ini, pasukan akan diwakili oleh tiga pelumba berbakat dalam kategori masing-masing:

Allan Harris bin Herman (21 tahun) – Malaysian Cub Prix (Pro-Am)

Pelumba muda berpengalaman dengan rekod cemerlang dalam kejohanan nasional dan Asia, bersedia menghadapi cabaran musim ini.

Nizar Syahmi bin Sazali (33 tahun) – Malaysia Speed Festival (Supersport)

Naib juara keseluruhan GPX kini bersedia untuk bersaing di peringkat lebih tinggi.

Muhammad Al Barraq Ab Waharp (37 tahun) – Malaysia Speed Festival (Super Rookie)

Seorang penerbit dan pelumba Talent Development TW Racing Team, membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk berjaya di litar.

Pembangunan dan Kerjasama

Sebagai sebahagian daripada program TW Talent Development, TW Racing Team menjalinkan kerjasama dengan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, UiTM Shah Alam, yang memberi penekanan kepada latihan prestasi tinggi, analisis data perlumbaan, serta pembangunan mental dan fizikal pelumba bagi memastikan mereka bersedia menghadapi cabaran di peringkat profesional.

Selain itu, Horizon Beranang Circuit menjadi pusat latihan utama pasukan, menyediakan sesi latihan intensif serta simulasi perlumbaan bagi meningkatkan kecekapan dan prestasi di litar sebenar.

TW Racing Team juga memberi peluang kepada:

✅ Jurutera muda – Terlibat dalam penyelenggaraan dan pembangunan motosikal perlumbaan.

✅ Wartawan sukan permotoran – Mendapat pengalaman dalam liputan perlumbaan, dokumentasi pasukan, serta penghasilan kandungan media.

✅ Pelajar & tenaga kerja industri – Terlibat dalam pengurusan pasukan, strategi perlumbaan, serta aspek teknikal dan komersial sukan permotoran.

Sokongan dan Penaja

Pelancaran ini turut menandakan komitmen TW Media dalam memastikan ketelusan dan profesionalisme dalam liputan sukan permotoran. TW Racing Team berterima kasih kepada rakan strategik dan penaja yang telah merealisasikan impian TW Racing Team, termasuk Brothers Garage, Pirelli, RK Takasago Chain, Koyoko, HJ Racing dan lain-lain lagi.

TW Racing Team mengalu-alukan sokongan daripada peminat dan komuniti permotoran tempatan dalam usaha membawa pasukan ini ke tahap lebih tinggi. Nantikan aksi menarik mereka di litar!

Teruskan bersama Two Wheels..!

Comments

Follow Us