Buriram Bakal Hentikan Penganjuran MotoGP?

 

Buriram, yang menjadi tuan rumah pembukaan musim MotoGP 2025 hujung minggu lalu, berdepan kemungkinan dikeluarkan dari kalendar selepas 2026. Menurut laporan media Thailand, Pengerusi Litar Antarabangsa Chang, Newin Chidchob, mendakwa bahawa pihaknya telah dimaklumkan oleh Pihak Berkuasa Sukan Thailand bahawa 2026 akan menjadi tahun terakhir MotoGP dianjurkan di negara itu.

Newin meluahkan rasa kecewa di media sosial, menyatakan bahawa kerajaan hanya perlu melabur 500 juta baht (RM65 juta) setahun, manakala penaja swasta menyumbang 300 juta baht (RM39 juta). Walau bagaimanapun, acara ini menjana pendapatan sekitar 5 bilion baht (RM656 juta) untuk ekonomi negara.

Sejak diperkenalkan pada 2018, Grand Prix Thailand mendapat sambutan luar biasa dengan tiket habis terjual setiap tahun. Untuk musim 2025, seramai 224,634 penonton hadir sepanjang hujung minggu perlumbaan, termasuk 99,778 pada hari Ahad. Kehadiran pelumba tempatan, Somkiat Chantra, yang membuat debut kelas perdana bersama LCR Honda di Buriram, turut meningkatkan minat peminat tempatan.

Spekulasi juga timbul bahawa Thailand mungkin berhasrat menganjurkan perlumbaan Formula 1 (F1), menjadi kemungkinan penyebab kerajaan mahu mengurangkan sokongan kepada MotoGP. Namun, Gabenor SAT, Dr Kongsak Yodmanee, menegaskan rundingan dengan Dorna Sports masih berlangsung dan mereka mahu meneruskan penganjuran acara ini.

Bangkok dipilih sebagai lokasi pelancaran musim MotoGP 2025, sementara Buriram menjadi tuan rumah ujian pramusim terakhir. Buriram juga dijangka menjadi lokasi pembukaan musim MotoGP 2026.

Teruskan bersama Two Wheels..!

📷 MotoGP

Comments

Follow Us