Pusingan Malaysia 2025 Autobacs SUPER GT di PETRONAS Sepang International Circuit pada 27-28 Jun Menjanjikan Aksi Hebat di Litar dan Festival Budaya Jepun yang Epik
Pusingan Malaysia bagi perlumbaan Autobacs SUPER GT 2025 pada 27-28 Jun di PETRONAS Sepang International Circuit tidak hanya menjanjikan aksi perlumbaan menakjubkan daripada pengeluar, kereta dan pemandu terbaik Jepun, tetapi juga satu Festival yang amat luar biasa dengan pameran budaya dan makanan Jepun, serta perlumbaan pertama GR86 Cup Series Malaysia 2025.
Pengumuman ini dibuat hari ini oleh HARO Sports & Entertainment, sebagai pemegang hak dan penganjur untuk pusingan Malaysia bagi SUPER GT, yang menjamin peminat akan pengalaman hujung minggu perlumbaan yang unik dan penuh tenaga untuk peminat dan keluarga mereka, dengan keseronokan yang tidak hanya berlaku di atas litar tetapi juga di luar litar.
"SUPER GT terus dikenali dengan suasana karnival yang meriah. Ia merupakan salah satu daripada beberapa acara antarabangsa yang membolehkan peminat untuk berada sangat dekat dengan pemandu, pasukan dan kereta kegemaran mereka. Acara ini penuh dengan warna dan karakter, menawarkan pelbagai aktiviti seperti sesi pit terbuka, berjalan di pit, berjalan di grid dan safari litar, serta pameran pelbagai gerai jualan dan barangan. Festival SUPER GT Malaysia 2025 tahun ini juga akan menampilkan sambutan tema budaya Jepun yang sangat menarik," kata Fahrizal Hasan, Pengarah Urusan HARO Sports & Entertainment.
![]() |
Nihon Matsuri: Penganjur Festival Budaya Jepun |
Dengan kerjasama Nihon Matsuri - satu perayaan tahunan tema budaya Jepun yang diadakan setiap tahun oleh Trumpet International dan juga dikenali sebagai festival makanan dan budaya Jepun terbesar di Malaysia – peminat dapat merasai pelbagai aktiviti bertemakan budaya Jepun serta menikmati makanan jalanan Jepun dan makanan yang diilhamkan oleh Jepun. Nihon Matsuri telah menarik lebih 100,000 pengunjung dalam tempoh tiga tahun penganjurannya, yang datang dari pelbagai latar belakang, termasuk peminat budaya Jepun, peminat makanan, serta peminat anime dan manga, dan juga pelancong antarabangsa.
Perjanjian kerjasama untuk menganjurkan Festival SUPER GT Malaysia 2025 ini dimeterai hari ini antara HARO Sports & Entertainment dan YM Tengku Ezuan Ismara Bin Tengku Nun Ahmad, Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif XOX Network Berhad, syarikat induk Trumpet International.
Sementara itu, tiket untuk pusingan Malaysia bagi perlumbaan Autobacs SUPER GT 2025 kini telah dijual mulai hari ini (27 Februari). Harga tiket bagi tempoh jualan awal adalah RM80 untuk K1 Grandstand, RM200 untuk Main Grandstand dan RM2,000 untuk GT Club Paddock Hospitality lounge. Tiket boleh didapati secara dalam talian melalui www.supergtmalaysia.com. Sila ambil perhatian bahawa setiap pembelian tiket akan dikenakan caj tambahan RM3 setiap tiket
![]() |
GR86 Cup Series Malaysia |
Pusingan Autobacs SUPER GT kembali ke Malaysia setelah 12 tahun dan akan diadakan selama tiga tahun berturut-turut selepas perjanjian ditandatangani antara HARO Sports & Entertainment sebagai pemegang hak dan penganjur untuk pusingan Malaysia bagi SUPER GT dan GT Association (GTA) selaku pemegang hak untuk SUPER GT.
Pusingan Malaysia bagi perlumbaan Autobacs SUPER GT 2025 akan berlangsung sejauh 300km dan merupakan pusingan ketiga dalam kalendar perlumbaan 2025 yang merangkumi lapan pusingan – tujuh daripadanya akan diadakan di pelbagai litar di Jepun. Malaysia akan kekal sebagai satu-satunya perlumbaan antarabangsa untuk SUPER GT.
Pusingan pembukaan akan diadakan di Okayama International Circuit pada 13 April, diikuti dengan Pusingan 2 di Fuji Speedway pada 4 Mei dan Pusingan 3 di Malaysia. Pusingan 4 akan diadakan semula di Fuji Speedway pada 3 Ogos sebelum beralih ke Litar Suzuka untuk Pusingan 5 pada 24 Ogos. Tiga pusingan terakhir akan berlangsung di Sportsland Sugo pada 21 September; Autopolis International Racing Course pada 19 Oktober dan Mobility Resort Montegi pada 2 November.
SUPER GT menampilkan pengeluar dan pemandu terbaik dari Jepun yang bersaing dalam kelas GT500 dan GT300, dengan pengeluar terkemuka seperti Nissan, Lexus, Toyota, Honda dan Subaru, serta jenama-jenama antarabangsa seperti Aston Martin, Lamborghini, Mercedes-Benz, Ferrari dan BMW.
Comments
Post a Comment