Qabil Irfan Azlan Pulang Dengan Kemenangan Berganda Dari Jerez


Pelumba muda sensasi negara, Qabil Irfan Azlan, disambut sebagai wira tanah air sejurus ketibaannya di KLIA selepas mencipta kejayaan berganda dalam perlumbaan ESBK Talent Cup di Litar Jerez, Sepanyol pada hujung minggu lalu. Kejayaan cemerlang ini bukan sekadar mencerminkan bakat luar biasa Qabil, malah mengukuhkan namanya sebagai antara prospek terbaik negara dalam dunia perlumbaan motosikal antarabangsa.

Ketibaan Qabil disambut meriah oleh para peminat, wakil media, serta tokoh-tokoh penting dalam industri sukan permotoran tanah air. Antara yang hadir termasuk YB Ustaz Hishamuddin Abdul Karim, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan & NGO Negeri Terengganu; Encik Azhan Shafriman Hanif, Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Sepang Circuit; Encik Nor Azli Mohamad Daud, Pengarah Cawangan Pembangunan Sukan Rekreasi, Jabatan Belia dan Sukan; serta Puan Norlina Ayob, Pengurus Komunikasi MKA Group.

Dalam sesi media sejurus ketibaan, Qabil tampil tenang dan bersahaja, namun penuh semangat ketika berkongsi pengalaman manisnya. “Target saya kalau boleh nak menang race, memang saya target peluang untuk menang,” katanya, menunjukkan keyakinan tinggi serta fokus jelas terhadap prestasi.

Namun begitu, Qabil turut mengakui bahawa saingan di kelas Pre-Moto3 ESBK bukanlah mudah. “Bagi saya tak mudah, sangat susah untuk saya nak jadi laju dekat Moto3. Tapi saya cuba sehabis baik,” katanya dengan nada rendah diri yang memukau.


Antara faktor penting kejayaan Qabil adalah komunikasi berkesan bersama kru teknikal pasukannya. “Komunikasi saya dengan crew sangat baik, mereka faham apa saya nak. Saya beritahu dalam bahasa Inggeris dan mereka terus buat improvement,” tambahnya, memperlihatkan tahap kematangan dan profesionalisme yang jarang dilihat pada usia muda.

Apabila ditanya mengenai perbezaan antara kelas Moto4 dan Pre-Moto3, Qabil berkongsi pandangannya secara jujur, “Saingan di Moto4 dulu nampak jauh lebih sengit berbanding Moto3. Tapi saya pun tak pasti kenapa jadi macam tu.”

Kejayaan di Jerez juga tidak datang tanpa persiapan rapi. Qabil mendedahkan rutin hariannya menjelang perlumbaan: “Saya akan makan nasi pagi tu sebelum berlumba dan tidur awal,” katanya, menekankan kepentingan kesihatan mental dan fizikal sebelum aksi di litar.

Meskipun berada di puncak prestasi, Qabil tetap tidak leka. Dalam musim ESBK kali ini, pelumba muda dari Sepanyol, Izan, dilihat sebagai pencabar utama. Namun, Qabil kekal fokus: “Saya akan cuba improve lagi, lebih baik dari sebelum ni.”

Dengan semangat juang luar biasa, disiplin tinggi, dan sokongan padu pelbagai pihak, Qabil Irfan Azlan kini menjadi simbol harapan baharu sukan permotoran negara. Kejayaan berganda di Jerez hanyalah permulaan — bintang Qabil dijangka terus bersinar di pentas dunia.

Teruskan bersama Two Wheels… menyokong wira masa depan negara!

Comments

Follow Us