Pasukan Viper Niza Racing dari Malaysia memulakan kempen perlumbaan ketahanan Eropah mereka hujung minggu ini (18-20 April 2025) dengan penyertaan dalam Michelin 12 Hours of Spa Francorchamps di Belgium. Diketuai oleh pelumba Douglas Khoo, Dominic Ang dan Melvin Moh, pasukan serba Malaysia ini akan bersaing dalam kelas GT3/AM dengan jentera Mercedes-AMG GT3 Evo.
Perlumbaan ini bakal menyaksikan 40 jentera dari 10 pengeluar berbeza bertarung dalam lima kelas utama. Dalam kelas mereka, Viper Niza Racing akan berdepan cabaran hebat daripada Lamborghini Huracan GT3 Evo, Audi R8 LMS GT3 Evo II dan Aston Martin Vantage AMR GT3 Evo.
Litar Spa Francorchamps sepanjang 7.004km terkenal sebagai salah satu litar paling mencabar di dunia, dengan 19 selekoh dan cuaca yang tidak menentu. Ia pernah menjadi saksi kejayaan manis buat pasukan ini apabila memenangi kelas PRO/AM dalam perlumbaan TCR SPA500 pada tahun 2019 dengan jentera Seat Cupra TCR DSG.
“Spa sangat istimewa buat kami. Ia sebuah litar yang menakutkan tetapi penuh kenangan manis. Cabaran GT3 tahun ini lebih besar, tetapi kami tetap fokus dan optimis,” kata Douglas Khoo yang juga Prinsipal Pasukan.
Tahun 2025 merupakan musim ketiga pasukan bersaing dalam kelas GT3. Dengan pakej baharu yang lebih kompetitif, mereka yakin mampu mencipta keputusan lebih cemerlang. Keyakinan ini turut dipacu oleh kemenangan mereka dalam kelas GT AM Masters dan tempat kedua di kelas GT AM dalam Motul 12 Hours of Sepang baru-baru ini.
Selepas Spa, Viper Niza Racing akan meneruskan saingan ke Misano (Mei), Paul Ricard (Julai), Barcelona (September) dan Shanghai (Oktober). Mereka terus disokong oleh Motul, Endless, Momentum Autoparts, IWC dan Jen Orchard Gateway Hotel.
Teruskan bersama Four Wheels..!
#FourWheels #TWmedia #TWinfo #TWgear #TWracing #ViperNizaRacing
Comments
Post a Comment